Hari pertama beroperasi, kamera pintar MBKS kesan 1,986 pesalah trafik


KUCHING-- Kamera yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) e-Polis, yang dipasang di lampu isyarat Batu 2 1/2 berdepan Wisma Naim berjaya mengesan 1,986 kesalahan trafik pada hari pertama ia beroperasi.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng berkata, kamera berkenaan yang dicadangkan pada Oktober tahun lalu mendapati lebih ramai pengguna motosikal melanggar kesalahan trafik dan menyebabkan kesesakan.
"Ini adalah inisiatif MBKS dan kita memanggilkan kamera AI e-Polis yang sedang menjalani proses percubaan untuk tempoh enam bulan bagi melihat keberkesanannya.
"Dengan jumlah kesalahan trafik yang dikesan pada hari pertama kamera AI e-Polis itu, bayangkan jika setiap pengguna yang dikesan melanggar peraturan dan disaman RM150 secara puratanya keseluruhan berjumlah RM300,000 sehari.
"Dengan kutipan saman itu dapat digunakan untuk membeli lebih banyak kamera pengawasan," katanya semasa ShallWEETalk secara langsung di Facebooknya pada Sabtu.
Tambah Wee, untuk itu MBKS mengalu-alukan kerjasama dengan pihak polis bagi penguatkuasaan undang-undang trafik demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Selain mengumpul data trafik, termasuk keseluruhan aliran trafik di kawasan sekitar, katanya kamera AI yang mempunyai ciri-ciri pandangan 360 darjah juga menyediakan maklumat tentang tingkah laku pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu untuk peringkat awal ini, kamera AI berkenaan hanya berfungsi sebagai memberi peringatan kepada pengguna jalan raya untuk lebih patuh pada peraturan jalan raya.
“Memandangkan lebih ramai orang menyedari kamera AI ini sejak ia dipasang, kami mendapati bahawa jumlah pelanggaran peraturan trafik telah menurun daripada 1,896 kepada kira-kira 1,000 pada hari kedua dan menurun lagi hari berikutnya," jelasnya.

Justeru, beliau berpandangan jika lebih banyak kamera AI berkenaan dipasang di bandar raya ini, ia dapat mengurangkan lagi jumlah pengguna yang melanggar peraturan trafik sekali gus menghapuskan aktiviti rasuah. 

Next Post Previous Post