"Enuluq Park, tarikan baru bagi kaki camping dan hiking di Pakan"

SARIKEI: Enuluq Park yang beroperasi di KM2, Jalan Wak, Pakan mempunyai daya tarikan tersendiri bagi kaki 'camping dan hiking' menghayati keindahan suasana alam dengan pemandangan indah dari puncak bukit.

Puan Fait Akom, pemilik bersama Enuluq Park berkata beliau dan keluarga mula mengusahakan tapak perkhemahan ini sejak 3 bulan lepas dan telah mendapat sambutan di luar dugaan daripada orang ramai sama ada dari dalam dan luar kawasan Pakan.

"Pada mulanya kami sekeluarga berbincang mengenai Enuluq Park ini dan setelah mendapat keputusan akhirnya kami mengusahakan tanah bukit berhampiran rumah kami untuk dijadikan tapak perkhemahan daripada ianya terbiar begitu sahaja"

"Enuluq merupakan bahasa Sabah yang bermaksud bukit dan tempat ini dinamakan sebagai Enuluq Park seperti di Sabah juga yang mempunyai banyak tempat berkhemah diusahakan oleh orang tempatan"

"Untuk pertama kali kami telah menjemput kelab perkhemahan iaitu Kelab DUTON untuk merasai suasana berkhemah di sini sekali gus mempromosikan Enuluq Park kepada mereka yang meminati aktiviti seperti ini," ujar Fait yang merupakan anak jati Sabah.

Di puncak bukit juga turut disediakan 'campsite' yang mempunyai anjung untuk bersantai, tempat memasak, air, lampu solar dengan kadar sewa RM100 bagi pengunjung yang ingin bermalam di campsite tersebut.

Bagi yang berkhemah pula disediakan sewa yang khusus untuk kemasukkan bermalam di sana.

Selain tapak perkhemahan di atas bukit, rumah inap desa yang dinamakan CountrySide Homestay juga turut disediakan di kaki bukit untuk disewa kepada pengunjung yang diusahakan oleh suami Puan Fait iaitu bekas pesara guru, Isup anak Bakum serta keluarga.

"Inap desa ini telah diusahakan sejak awal tahun 2019 memandangkan orang luar dari kawasan Pakan datang mencari tempat penginapan bermalam maka kami berhasrat untuk membina inap desa ini yang mempunyai 10 bilik dengan kadar sewa yang berpatutan"

"Antaranya orang luar yang datang sewaktu keramaian di Pakan dan juga pekerja-pekerja syarikat kompeni dari luar yang datang bekerja di sekitar kawasan ini sama ada untuk menyewa secara harian atau bulanan," ujar Isup.

Tinjauan kami mendapati banyak kemudahan telah disediakan oleh pemilik untuk para pengunjung seperti air, elektrik, tandas malah pemilik turut menyediakan khidmat sewa untuk pengantin, salun gunting rambut, gym dan banyak lagi.

Di samping itu, pengunjung juga dilarang untuk melakukan vandalisma, meminum arak dan aktiviti terlarang ketika bermalam di sini.

Mereka yang berminat untuk menginap di sini boleh menghubungi di talian 0198660592 atau 0138120244
Next Post Previous Post