Bukan buli tetapi Myvi alami masalah teknikal pada pedal minyak - Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching

Gambar tangkap skrin video yang tular semalam.

KUCHING: Video tular yang memaparkan sebuah kereta Myvi yang didakwa cuba "membuli" pengguna jalan raya lain adalah tidak benar kerana kereta berkenaan mengalami masalah teknikal pada pedal minyaknya. 

Perkara ini dijelaskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dalam satu kenyataan semalam berkata, polis telah menghubungi pemandu Myvi berkenaan pada Sabtu untuk mengetahui perkara sebenar berlaku. 

"Dia mengaku dia pandu kenderaan pada masa tersebut dan dimaklumkan kenderaan dia mengalami masalah teknikal pedal minyak masa kejadian. 

"Dia maklum cuba beberapa kali dan banyak kenderaan yang lalu pada masa tersebut termasuk lori yang mengambil video berkenaan," katanya. 

Jelas kenyataan itu, tiada unsur-unsur dendam atau samseng jalanan. 

Tambahnya, pemandu Myvi juga tidak mengenali pemandu lori yang merakam video berkenaan. 

"Pihak polis menasihatkan orang awam agar tidak memanipulasikan sebarang kejadian dan mengesahkan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu," ujarnya. 

Dalam video tular berdurasi 17 saat itu dirakamkan di Jalan Tun Razak di sini menunjukkan pemandu Myvi menekan brek beberapa kali dan bergerak perlahan walaupun memandu di lorong kanan.
Next Post Previous Post