Belanjawan 2023: Fokus penglibatan pekerja tempatan dalam Sektor Agrikomoditi - Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR-- Belanjawan 2023 memberi fokus kepada pembangunan sektor Agrikomoditi yang lebih bersasar, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, untuk itu, kementeriannya akan memfokuskan untuk meningkatkan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan.

Selain itu, jelasnya, kementeriannya juga mengharapkan syarikat-syarikat perladangan bersama-sama dengan kerajaan dalam mempastikan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan eksport negara. 

"Belanjawan 2023 memberi fokus kepada pembangunan
sektor Agrikomoditi yang lebih bersasar terutamanya melibatkan perkara-perkara seperti, peruntukan RM50 juta geran sepadan untuk menggalakkan automasi sektor
perladangan melalui penggunaan robotik dan Artificial Intelligence (AI) serta menggaji pekerja tempatan yang berkemahiran.

"Selain itu, peruntukan RM80 juta untuk menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat Kempen Menangani Anti Minyak Sawit; peruntukan RM350 juta untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif
Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram; dan peruntukan RM50 juta untuk menggunakan teknologi Cuplump Modified Bitumen (CMB) bagi tujuan penyelenggaraan jalan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengenai Belanjawan 2023, Fadillah berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2023 yang selaras dengan prinsip MADANI yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ia merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat
Malaysia terus diberi keutamaan manakala agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa dan diberi sokongan.

"Menerusi Belanjawan 2023, ia dilihat menyasarkan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat lebih besar, melalui bantuan disalurkan kepada golongan sasar, penambahbaikan untuk menangani kos sara hidup dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk golongan miskin tegar serta kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

"KPK menyambut baik pembentangan Belanjawan 2023 yang selaras dengan prinsip MADANI.

"Berteraskan nilai-nilai MADANI, Belanjawan 2023 dijangka dapat memacu pertumbuhan industri dan memberi manfaat kepada pemegang taruh Kementerian ini melalui inisiatif yang baru diumumkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan," tambahnya.

Selain itu, beliau percaya, antara fokus utama yang dititikberatkan dalam Belanjawan 2023 adalah untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan pekebunpekebun kecil di seluruh negara serta usaha untuk terus memperkasakan sektor perladangan. 

Pada masa yang sama katanya kementerian turut bertekad untuk memastikan daya saing negara dapat dipertingkatkan serta tatakelola kerajaan dapat ditambah baik.

"Pada tahun 2022, sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak 5.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi nilai eksport sebanyak RM207.3 bilion, manakala lebihan dagangan sebanyak RM146.5 bilion,
sekaligus menjadi komponen terpenting dalam ekonomi Malaysia.

"Tahun 2023 dijangka akan lebih dinamik memandangkan cabaran yang bakal didepani bagi menjamin kemampanan industri Agrikomoditi negara. 

"KPK bertekad untuk mendepani cabaran tersebut demi kelangsungan industri berkenaan sejajar dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada industri Agrikomoditi. 

"Selain itu, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) akan terus dijadikan asas bagi merealisasikan aspirasi rakyat Malaysia Madani," ujarnya.
Next Post Previous Post