8 ditangkap dalam operasi Dadu banteras judi online

KUCHING-- Seramai tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan ditangkap atas kesalahan disyaki terlibat menjalankan aktiviti judi online secara tidak sah.

Tangkapan itu dilakukan dalam operasi pembanterasan perjudian di kawasan pentadbiran Balai Polis Gita bermula 6 Februari lalu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ashmon Bajah berkata, Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching telah berjaya membuat sebanyak lapan operasi dadu sekitar kawasan Kuching terutama di kawasan pentadbiran Balai Gita.

"Turut dirampas wang tunai berjumlah RM649 dan lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa keratan kata laluan dan angka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebanyak lapan kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian atas talian(online) yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara boleh sampai tiga tahun.

"Kita mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian di daerah Kuching dengan menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran," ujarnya.
Next Post Previous Post