Tiang bendera tertinggi di Waterfront sempena 60 tahun Sarawak dalam Malaysia untuk mencantikkan Bandaraya Kuching, tarik pelancong - Abdul Karim

KUCHING-- Projek tiang bendera yang dijangka menelan kos RM30 juta di Tebingan Kuching yang merupakan tiang tertinggi di Malaysia boleh menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung di sini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Jelasnya, projek tiang bendera setinggi 99 meter yang akan dibiayai pihak swasta itu bukanlah satu isu besar yang digembar-gembur oleh sesetengah pihak baru-baru.

Tambahnya, kerajaan Sarawak juga tidak sewenang-wenangnya untuk merancang pembangunan seumpama itu tanpa sebab yang kukuh.

"Kali terakhir, mereka juga membuat bising tentang air pancut muzikal. Tidak semua dana perlu dibina sekolah, hospital, atau jalan raya. Jika kita mempunyai lebihan dana, tidak menjadi masalah untuk menggunakannya membina infrastruktur lain untuk mengindahkan bandar.

"Jika rakyat kita menderita, maka keutamaan akan diberikan kepada mereka. Tetapi kami sudah mempunyai tambahan dana ke tahap di mana kita boleh menubuhkan dana kekayaan negara. Jika kita tidak mempunyai
wang, kami tidak dapat menyediakannya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abdul Karim menjelaskan tiang bendera yang dimaksudkan itu sedang didirikan untuk menandakan kemerdekaan Sarawak ke 60, pencapaian signifikan dalam mendapatkan semula hak dan keistimewaan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk peningkatan ketua pentadbiran negara daripada ketua menteri kepada Premier Sarawak.

Menjawab pihak yang didakwa 'bising' dan tidak menyokong projek tersebut, beliau berkata, perkara yang sama turut berlaku apabila berita mengenai projek air pancut muzikal dahulu.

Menurutnya, projek tiang bendera tertinggi itu sama seperti air pancut muzikal, yang akan menjadi mercu tanda di bandar raya ini dan tarikan untuk pelancong.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar rakyat Sarawak tidak memudah berfikiran negatif berhubung projek berkenaan dan mengingatkan kembali perjuangan yang telah dicapai kerajaan Sarawak dalam menuntut semula hak negeri ini.

"Saya percaya rakyat Sarawak tahu negeri kita telah diurus tadbir dengan baik hingga kita meraih pendapatan yang memberangsangkan seperti hasil dari minyak dan gas.

"Oleh sebab itu, syarikat swasta memutuskan untuk membiayai projek pembinaan tiang bendera ini seperti mana yang dirancangkan oleh kerajaan Sarawak," ujarnya.
Next Post Previous Post