Terima rasuah bulanan dari kontraktor: Pengarah Bahagian kementerian antara tiga individu direman SPRM


Gambar Hiasan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga individu termasuk seorang Pengarah Bahagian sebuah kementerian bergelar Datuk kerana disyaki menerima wang rasuah secara bulanan dengan jumlah besar daripada kontraktor-kontraktor yang mendapat projek di kementerian tersebut.

Selain Pengarah Bahagian itu, dua lagi yang ditahan merupakan seorang perunding projek dan seorang pengarah syarikat binaan.

Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40an berkenaan ditahan di sekitar Putrajaya dan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara jam 11 pagi hingga 9 malam ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, wang rasuah tersebut merupakan bayaran daripada kontraktor-kontraktor yang telah dilantik oleh kementerian terlibat sebagai balasan untuk mempercepatkan proses bayaran tuntutan, membantu meluluskan Arahan Perubahan Kerja (Variation Order) dan Lanjutan Tempoh Masa (Extension of Time) projek.

Kata sumber tersebut, suspek juga dipercayai menerima suapan wang secara bulanan selain mendapat sogokan seperti barang-barangan mewah untuk kegunaan peribadi.

Susulan itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman selama tujuh hari kepada Pengarah Bahagian tersebut manakala dua lagi suspek selama tiga hari bermula hari ini setelah pihak SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post