Dua lelaki milik 5 rekod jenayah curi dan pecah rumah ditangkap kerana curi kabel


KUCHING-- Dua lelaki yang mempunyai lima rekod kes curi dan pecah rumah dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam kes curi kabel.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 34 tahun itu ditangkap di Tabuan Dusun oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
"Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dengan curi dan pecah rumah," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Jelasnya, kejadian curi kabel itu disedari berlaku apabila juruteknik dari Sarawak Energy Berhad membuat pemeriksaan di Lorong 2L SL 5, Laksamana Cheng Ho pada 17 Disember 2022 setelah mendapat aduan daripada orang awam berkenaan gangguan elektrik di kawasan tersebut.
Tambah Ahsmon, kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama 3 hari bermula 18 hingga 20 Januari 2023 untuk siasatan lanjut.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan katanya boleh dihukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

"Polis mengingatkan orang ramai agar membantu menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada pihak polis," ujarnya. 

Next Post Previous Post