Tak sanggup berlari meredah hutan, lelaki 59 tahun pasrah dicekup polis


SARIKEI - Sekumpulan kaki sabung ayam bertempiaran lari ke kawasan hutan berhampiran selepas diserbu polis ketika menyabung ayam di kawasan Nanga Lango, Entabai, Julau di sini, semalam.


Bagaimanapun, dalam serbuan Op Limau jam 1.30 tengah hari itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Julau berjaya menahan seorang lelaki berusia 59 tahun.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis membuat serbuan di kawasan itu.

"Ketika pihak polis sampai di tempat kejadian, sekumpulan orang yang menyedari kehadiran pihak polis telah lari bertempiaran ke kawasan hutan berhampiran. 

"Seorang suspek lelaki gagal melarikan diri dan berjaya ditahan pihak polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, hasil serbuan turut berjaya merampas lima ekor ayam hidup, satu unit alat penimbang dan satu papan putih tertulis jadual pertaruhan.

"Tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Binatang 1962. 

"Jika disabitkan kesalahan,kesemua suspek akan dihukum di bawah seksyen 5(3) ordinan yang sama yang boleh dihukum penjara tiga bulan atau denda RM500," katanya.

Andam berkata, pihak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan perjudian pertaruhan sabung ayam terutama di kawasan Julau dan Pakan. 

Next Post Previous Post