Dua panggilan palsu diterima BBP Kapit selang dua jam

Gambar BBP Sibu: Pasukan BBP Kapit sejurus sampai di Rumah Bilong Sungai Entatit dan mendapati tiada berlaku kebakaran sebagaimana dilaporkan
KAPIT: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima dua panggilan nakal dan palsu berhubung kes kebakaran rumah panjang dan kejadian lemas dalam kolam dari kawasan sama iaitu Sungai Yong pada hari pertama Tahun Baru Cina (semalam).

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Timothy Barat, panggilan palsu yang pertama diterima oleh pihaknya pada jam 10.38 pagi kononnya berlaku kebakaran di Rumah Bilong Sungai Entatit.
"Sampai di lokasi rumah panjang yang terletak 22 kilometer dari balai itu pada jam 11 pagi, pasukan bomba mendapati tiada berlaku kebakaran yang membabitkan rumah panjang berkenaan sebagaimana dilaporkan," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut difahamkan bahawa penduduk rumah panjang juga tidak mengetahui siapa yang membuat panggilan nakal itu yang mengatakan rumah panjang mereka terbakar.
Katanya, semasa penyelia pasukan bersama Ketua Balai masih di Balai Polis Kapit untuk melapor kes panggilan palsu rumah panjang di Ulu Yong,Ketua Balai telah menerima satu lagi panggilan kecemasan daripada PGO Sarawak yang melaporkan kejadian mangsa lemas dalam kolam juga di Sungai Yong daripada pemanggil yang sama cuma nombor telefon yang berbeza.
Pasukan bomba katanya telah cuba beberapa kali menghubungi semula pemanggil namun tidak berjaya.
Akhirnya pihak polis cuba menghubungi pemanggil dan telah berjaya bercakap dengan tuan punya nombor telefon tersebut.
"Pemanggil telah mengaku nama dan kedua-dua nombor telefon tersebut adalah milik beliau namun telah menafikan ada membuat sebarang panggilan kecemasan 999," ujarnya.
Pihak polis dalam masa sama telah meminta penama serta pemilik nombor telefon tersebut untuk hadir ke Balai Polis Kapit bagi tujuan siasatan serta laporan untuk menafikan dan membatalkan panggilan palsu tersebut.
Dengan itu pihak BBP Kapit telah ambil maklum dan kes mangsa lemas di kolam diklasifikasikan sebagai panggilan palsu serta di anggap selesai.
Timothy dalam masa sama menasihatkan orang awam khususnya penduduk di kawasan Kapit agar tidak melakuan panggilan palsu berhubung apa-apa musibah kerana ianya boleh menyukarkan kerja-kerja pasukan bomba.
"Macam mana sekiranya benar-benar berlaku kebakaran, tidakkah ianya menyusahkan banyak pihak sekiranya tugas bomba selalu diganggu oleh panggilan palsu yang boleh menjejaskan produktiviti pasukan bomba dalam menjalankan tugas mereka," soal beliau.
Beliau sebagai menegaskan bahawa ibu bapa harus sentiasa menasihati anak-anak mereka agar tidak suka-suka mendail nombor kecemasan kerana ianya boleh menganggu tugas bomba dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Next Post Previous Post