Suspek kedua samun bersenjata di Stutong ditangkap

 

Gambar ihsan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching

KUCHING, 27 Jan: Seorang lagi suspek kes samun bersenjata di sebuah kedai makan di Jalan Stutong yang tular di media sosial berjaya ditangkap semalam.

CATS FM melaporkan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menahan suspek yang berusia 23 tahun itu di kawasan Kuching sekitar jam 7.30 malam.

Katanya, pihak Polis turut merampas kereta jenis Perodua Kelisa yang diguna suspek semasa samun dan beberapa barang lain.

ACP Ahsmon memberitahu suspek turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan harta benda termasuk kes pecah rumah.

Susulan penangkapan suspek kedua tersebut, beliau menegaskan kes itu telah selesai dan suspek akan direman pagi ini untuk membantu siasatan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Pemberian Dos Penggalak COVID-19 kepada Pegawai Kanan, Pegawai Rendah Polis, Pegawai Awam Polis serta ahli keluarga IPD Kuching di Rumah PERKEP IPD Kuching hari ini.

Semalam, ACP Ahsmon memberitahu suspek utama memiliki tujuh rekod kes jenayah lampau berjaya ditangkap kurang dari 24 jam.

Next Post Previous Post