Dua lagi pengedar dadah warga asing dicekup di Bintulu



BINTULU: Dua lelaki warganegara asing disyaki pengedar dadah dicekup oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Bintulu dalam operasi khas yang dijalankan di Jambatan Segawan di Jalan Sebauh-Pandan pada semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit, ianya merupakan tangkapan kedua pada dua hari berturut-turut Ops Tapis Khas Se-Malaysia yang dijalankan di Bintulu.
Pada Selasa lepas, dua lagi lelaki warganegara asing turut ditahan BSJN di kawasan perindustrian Kidurong kerana disyaki mengedar dadah.
Dalam tangkapan ini katanya, kedua-dua suspek yang berusia antara 28 dan 43 tahun dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di tepian Sungai Kemena.
Pemeriksaan yang dijalankan pasukan polis jelasnya mendapati kedua-dua suspek memiliki dadah jenis syabu seberat 14.3 dan 7.3 gram.
"Hasil ujian saringan air kencing yang mendapati kedua-dua suspek positif mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine," ujarnya.
Kedua-dua suspek katanya akan disiasat dibawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Immigresen 1959/1963 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.
Jika disabit salah di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, kedua-dua suspek boleh dipenjarakan tidak lebih lima tahun beserta sebatan tidak kurang dari tiga kali, manakala jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)ADB 1952 boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Dalam pada itu, di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, kedua-dua suspek berhadapa dengan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali beserta sebatan tidak lebih dari enam kali sebatan.
"Tangkapan ini merupakan salah satu usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, disamping mencegah aktiviti jenayah di Bintulu," tambah beliau.
Next Post Previous Post