Adiwira gadai nyawa terjun dalam parit bantu mangsa kemalangan



SIBU -- Demi menyelamatkan pasangan guru dalam kereta yang terbalik dalam parit selepas terlibat kemalangan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini pagi tadi, seorang lelaki tanpa memikir panjang terjun ke parit berkenaan untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa. 

 Lelaki tersebut melalui akaun Facebooknya yang mengguna nama Watt Rock dipetik berkata, kemalangan itu berlaku di depan mata dia ketika dia memandu bersama isteri dan anaknya.
 
"Ternampak kereta yang baru terlibat kemalangan dan terus kami bergegas untuk melihat. 

"Saya parkir kereta ditepi dan meninggalkan anak yang masih tidur dalam kereta terus terjun ke parit untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa.

"Parit berkenaan agak dalam dan saya sempat tenggelam seperti kaki ditarik seseorang. 

"Kemudian saya melihat rakannya yang berbaju oren dan kami berdua berusaha memecahkan cermin tingkap kereta kerana pintunya tidak dapat dibuka," katanya. 

Tambahnya, dia dan rakannya sempat mendengar mangsa meminta tolong dalam kereta terbabit. 

Jelasnya, dia dan rakannya itu berusaha memecahkan cermin tingkap kereta berkenaan dan akhirnya berjaya dipecahkan. 

"Selepas itu, kami berusaha mengeluarkan lelaki dan wanita berkenaan dan membawa mereka ke tebing. 

"Mangsa wanita masih sedar manakala mangsa lelaki yang berjaya dikeluarkan dilihat tidak lagi berdaya namun kami yang tidak mempunyai asas CPR tetap membantu mangsa. 

"Tetapi Tuhan lebih menyayangi lelaki tersebut dan kami sempat memberi sokongan kepada wanita yang merupakan isteri lelaki berkenaan," ujarnya. 

Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 6.21 pagi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya ke lokasi. 

"Komander operasi melaporkan kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta sedan telah terjatuh dalam keadaan terbalik ke dalam parit yang berair. 

"Kemalangan melibatkan dua mangsa iaitu seorang lelaki dan perempuan dewasa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi," jelasnya menerusi kenyataan, pagi ini. 

Jelasnya, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, kedua-dua mangsa bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah di Sibujaya yang mana si suami dilaporkan telah meninggal dunia akibat kemalangan itu. 

Manakala si isteri masih dalam rawatan lanjut. 

Semakan di profil Watt Rock, beliau rupanya seorang penghibur yang pernah memenangi anugerah vokal terbaik dalam sebuah pertandingan nyanyian berprestij di Sarawak.
Next Post Previous Post