Datang kerja tepat waktu juga cerminan Integriti

KUCHING-- Integriti bukan sahaja sekadar mengekang jenayah rasuah secara langsung, tetapi juga merangkumi amalan budaya kerja cemerlang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Beliau berkata, sebagai contoh, ketepatan waktu hadir kerja, penyampaian maklumat menjaga kerahsiaan maklumat, menepati janji, pergaulan antara rakan sekerja dan pelbagai lagi aspek dalam melaksanakan tugas yang sebenarnya mencerminkan integriti. 

"Menjadikan integriti sebagai garis panduan atau pegangan dalam menjalani kehidupan dapat menjadi benteng kepada kita daripada terjebak dalam perkara-perkara yang merugikan diri sendiri, mencemar agama, merosakkan organisasi dan melemahkan negara," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans Dan Antirasuah (AIGA) 2022 malam ini. 

Mengenai AIGA, Kata Fadillah, ia julung kali diadakan yang merupakan anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM).

"Tahniah Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) yang telah memenangi Anugerah Platinum AIGA 2022.

"Tahniah juga kepada kesemua 16 pemenang Anugerah Emas AIGA 2022 dan 34 pemenang Anugerah Perak AIGA 2022," katanya yang turut melancarkan AIGA 2023.

AIGA jelasnya adalah satu anugerah yang dibangunkan oleh IIM bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai organisasi sektor awam dan swasta yang telah menzahirkan komitmen dan usaha dalam pembudayaan dan pengamalan integriti serta tata kelola terbaik. 

Tegasnya, ia merupakan penanda aras yang membolehkan organisasi mengukur keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan integriti dalam organisasi. 

Selain itu, beliau memberitahu ia juga adalah penanda aras bagi sistem pengurusan dalaman berfokuskan kepada tadbir urus terbaik serta sistem kawalan dalaman bagi mengekang berlakunya rasuah dalam organisasi.


Next Post Previous Post