Anwar Ibrahim umum RM1 bilion naiktaraf sempadan Sabah-Sarawak


KUCHING  -- Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.

Bernama melaporkan bahawa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kelulusan tersebut dibuat susulan perbincangan beliau dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini berhubung perpindahan ibu kota negara itu ke Nusantara, Kalimantan, yang berkongsi sempadan dengan kedua-dua wilayah Malaysia itu.

“Kita telah putuskan untuk memberi peruntukan tambahan bagi penyediaan CIQS sempadan dari segi keselamatan dan meningkatkan keupayaan CIQS dan prasarana asas seperti jalan raya kerana kita tidak mahu dilihat seperti terlalu daif,” kata beliau.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di sini hari ini, beliau berkata perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa menteri Kabinet Persekutuan dan negeri. 

Dalam mesyuarat itu, Anwar berkata kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menaikkan pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sarawak kepada RM300 juta.

Perdana Menteri berkata jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula khusus diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Beliau berkata prinsip pemberian itu diputuskan oleh pemimpin terdahulu yang melihat kedudukan Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia yang dilihat lebih mundur ketika itu. 

“Sebelum ini, Sarawak hanya diberi RM16 juta... tentunya saya selaku Menteri Kewangan berpendapat ini satu jumlah yang tidak munasabah.

“(Tetapi) untuk beri terlalu tinggi pun tidak mampu kerana dalam 112D menyebut pembayaran itu tertakluk kepada keupayaan kewangan Kerajaan Persekutuan,” kata beliau.


Next Post Previous Post