15 hari paip tiada air, Kaum Ibu Belawai mengamuk di media sosial

 

Survival.. Kembali ke zaman primitif di abad ke 21


BELAWAI— Penduduk kampung pelawa wakil rakyat kawasan itu tinggal di Belawai untuk merasai peritnya hidup tanpa bekalan air paip.


Ia susulan masalah air yang kerap membelenggu penduduk di Kampung Lot Fasa 1 dan Fasa 2 dan masih belum dapat diatasi sehingga ke hari ini.


“Yb sik diam Belawai ya nya sik merasa. Tahun lepas, sepanjang hari rumah kami tiada bekalan air kecuali jam 2 hingga 3 pagi. Kami terpaksa menggunakan pam di siang hari dan menyimpan air dalam tong.

Pelbagai alasan diberikan antaranya paip pecah dan tekanan air rendah. Kami sudah letih dengan masalah ini dan mahukan penyelesaian terbaik agar masalah ini tidak lagi berulang” kata penduduk kampung yang dikenali sebagai Ahmad, ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Menurut Ahmad, ketiadaan air paip membebankan penduduk kerana terpaksa membeli air mineral untuk menambah bekalan air yang dihantar menggunakan tangki.

“Setiap kali terputus bekalan air, kami terpaksa membeli air mineral. Ini amat membebankan bagi keluarga yang ada warga emas dan pesakit kronik,” katanya.

Hari ini, penduduk melalui media sosial meluahkan perasaan geram dan marah berikutan masalah itu yang menjejaskan kira-kira 100 buah rumah dengan Fasa 1 berhampiran klinik yang paling terjejas.

Seorang penduduk Lin Bahari Emlyn menerusi hantaran di Facebook berkata, sudah 15 hari mereka terpaksa mengangkut bekalan air ke rumah untuk kegunaan harian.

*Menangis mengenang nasib tiada air, ikutkan rasa hendak berteriak. Sedih..sedih,” katanya lagi.

Hantaran itu membuatkan netizen mempersoalkan sampai bila penduduk di kawasan itu harus berdepan dengan masalah putus bekalan air.

Ada yang menyindir wakil rakyat tidak nampak batang hidung jauh lagi komunikasi dengan penduduk untuk memberikan bantuan sewajarnya.

Menurut Lin, penduduk mengeluh membuang masa untuk berbaris mengisi air dan tidak dapat mencuci pakaian menggunakan mesin basuh. 

“Takkan nak mintak ihsan orang jak mok nyuci baju?, katanya.

Paling sedih, terdapat penduduk mengalami sakit kaki kerana terpaksa berulang-alik mengangkut air dari lori tangki ke kediaman masing-masing.

Lin ketika dihubungi berkata, sudah lebih 10 tahun penduduk kampung mereka terutama di Lot Fasa 1 bergelut dengan krisis air namun masih belum ada penyelesaian.

“Sebenarnya masalah ini sudah berlaku sejak 2011. Pernah pada 2014 kami terpaksa menadah air hujan selepas bekalan air paip terputus selama sebulan.

Sehingga sekarang masalah ini tiada penyelesaian. Ketika wakil rakyat terdahulu iaitu Datuk Norah Tun Abdul Rahman, semua batang paip berhampiran kampung ditukar dengan yang baharu kecuali kampung kami di Fasa 1,” katanya.

Seorang pengguna Facebook Misswen Lee Sol meminta wakil rakyat kawasan itu turun padang untuk melihat kesusahan rakyat.

“Tolong uruskan isu air ya..darurat sudah kami. Habis duit kami untuk membeli air mineral, bekas plastik dan tong untuk menyimpan air. Bukan itu sahaja, kami terpaksa berbelanja lebih untuk membasuh pakaian di dobi. 

“Mereka tidak merasai apa yang kami lalui. Cuba letakkan diri dalam situasi kami sekarang,” katanya.
Next Post Previous Post