Tunaikan janji berkaitan MA63 lebih utama dari jawatan TPM: Abang Johari


KUCHING-- Memenuhi janji berhubung pengembalian hak-hak istimewa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah lebih utama buat Sarawak.


Menegaskan perkara itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, itulah yang diharapkan lebih utama yang Sarawak agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan permintaan berkaitan MA63 berkenaan.



"Lebih utama bagi Sarawak adalah Perdana Menteri baharu dapat menunaikan permintaan kita dalam MA63 dan IGC dari pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM)," katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Kelab Sarawak Backbencher sempena Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di sebuah hotel sini semalam.


Abang Johari berkata demikian bagi mengulas tentang tawaran jawatan TPM oleh Perdana Menteri dalam pembentukan Kabinet baharu kerajaan Malaysia.


Mengenai persidangan DUN yang baharu selesai semalam, beliau memberitahu, kelancaran mesyuarat itu adalah atas kejayaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dapat berhujah dengan kualiti tinggi, berfakta dan sahih.


Tambahnya lagi, kejayaan terbaharu Kerajaan Sarawak bagi menambahkan hasil pendapatan adalah melalui cukai penyimpanan karbon atau 'Carbon Storage Levi' selain pendapatan dari dagangan karbon atau 'Carbon Trading' yang telah diusaha bersama pihak Petronas dan Petros.


Sehubungan itu, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ADUN GPS atas kejayaan dan komitmen mereka sepanjang persidangan kali ini. 


Turut hadir isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Tan Sri Awang Asfia Awang Nassar, Ketua Whip DUN Dato Ibrahim Baki, Pengerusi Pengelola Dr Simon Sinang Bada dan ahli-ahli Kelab Backbencher serta kenamaan lain.

Next Post Previous Post