Tanah runtuh: Mangsa ke-26 ditemukan berpelukan dengan anjing

 Tanah runtuh: Mangsa ke-26 ditemukan berpelukan dengan anjing


KUALA LUMPUR-- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat Batang Kali yang memasuki hari keenam hari menemukan satu mayat lelaki dewasa pada 11.16 pagi semalam di sektor B (Kem Farmview).


Penemuan mayat lelaki berkenaan menjadikan jumlah kematian akibat tragedi itu kini adalah 26 orang.


Lelaki berkenaan ditemukan pada kedalaman kira-kira satu setengah meter dalam keadaan berpelukan bersama seekor anjing di sektor berkenaan.


Turut ditemukan seekor lagi anjing berhampiran kawasan itu dan bangkai kedua-dua ekor anjing berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut.


Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa yang masih hilang adalah tujuh, manakala 61 selamat, daripada keseluruhan 94 mangsa insiden itu yang berlaku pada 2.42 pagi, Jumaat lepas, lapor Bernama.


Operasi terus dipergiatkan dengan membuat penggalian lebih dalam bagi mencari mangsa di kawasan kejadian selepas mengambil kira penemuan mangsa ke-25 iaitu seorang kanak-kanak perempuan semalam yang dijumpai pada kedalaman “luar jangkaan” iaitu kira-kira 17 meter di sektor C (Riverside).


Empat alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) (radar menembusi tanah) yang kali pertama digunakan untuk mengesan jasad manusia dalam kes tanah runtuh di Malaysia, turut dibawa ke lokasi tragedi di sini bagi membantu operasi.


Lokasi penemuan mangsa semalam. Gambar kredit Bomba Selangor

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berdasarkan input daripada Geoventure Solution Sdn Bhd dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), ketepatan GPR bagaimanapun dipengaruhi permukaan tidak rata dan tidak stabil serta tanah lembap dan keadaan itu boleh menyebabkan cerapan data alat canggih itu kurang tepat.


Selain itu, laungan azan juga merupakan antara ikhtiar baharu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sebelum memulakan operasi bagi mengesan tujuh lagi mangsa insiden tanah runtuh.


Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis sedang dalam proses m
emadankan data mangsa yang masih hilang dalam tragedi itu dengan laporan polis yang dibuat ahli keluarga dan waris dan yakin akan ada waris yang tampil ke balai polis untuk melaporkan terdapat ahli keluarga tidak dapat dikesan dan dipercayai hilang.


Operasi semalam bagaimana pun sedikit terjejas apabila terpaksa ditangguhkan sementara sejak 4 petang tadi susulan hujan lebat sebelum keseluruhan operasi ditangguhkan sepenuhnya pada pukul 10 malam atas faktor keselamatan selain faktor cuaca dan akan disambung semula pagi ini.

Next Post Previous Post