Kumpulan beli kad ATM, sewa bank 'Geng Jason' tumpas


SIBU-- Polis menumpaskan sindiket membeli dan menyewa kad pengeluaran wang automatik (ATM) dalam kalangan masyarakat tempatan untuk kegiatan penipuan dalam talian apabila menahan ketua sindiket dikenali sebagai Kumpulan ‘Jason’.


Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata  lelaki tempatan ketua kumpulan itu dikenali sebagai Jason @ Ah Long, 31, ditahan oleh Bahagian Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sibu, semalam.


Katanya, hasil risikan dijalankan sejak Jun lalu, tangkapan ketua kumpulan itu dibuat susulan kejayaan polis memberkas dua suspek lelaki tempatan pada 14 Dis lalu yang disyaki membeli kad ATM untuk kumpulan berkenaan.


"Berikutan tangkapan kesemua suspek itu, kami merampas 13 keping kad ATM yang bakal dihantar kepada sindiket, 16 keping kad sim, sekeping kad pengenalan atas nama seorang wanita, enam unit telefon bimbit dan sebuah buah kereta Perodua Axia," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini, lapor Bernama.


Beliau berkata ketua kumpulan tersebut akan merekrut ejen dalam kalangan orang tempatan untuk mencari mangsa yang berminat untuk menyewa atau menjual akaun bank.


“Setiap akaun yang disewa atau jual akan dibayar pada kadar RM400 hingga RM500 bergantung kepada jenis akaun dan bank," katanya. 


Menurutnya hasil semakan dalam telefon bimbit yang dirampas dan semakan melalui Sistem Risikan Jenayah Komersial (CCIS ) mendapati kumpulan itu terbabit dalam sembilan kes melibatkan 11 akaun bank lain dengan nilai transaksi berjumlah RM175,013.99.


Sebagai langkah pencegahan, beliau menasihati orang ramai agar tidak memberikan sebarang maklumat akaun kepada mana-mana pihak bagi mendapatkan keuntungan dalam bentuk wang kerana ini boleh mendatangkan lebih banyak masalah dan kemudaratan.

Next Post Previous Post