Tanah runtuh: 100 dikhuatiri tertimbus di tapak perkhemahan
KUALA LUMPUR— Kira-kira 100 orang pengunjung dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Genting Highland, Pahang, awal pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 2.24 pagi ini dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 3 pagi.
“Maklumat awal pihak polis terdapat 100 orang yang berada di tapak perkhemahan itu yang berkemungkinan menjadi mangsa runtuhan.
"Ketika ini misi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilaksanakan bersama pasukan STORM,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, seramai 37 individu berjaya diselamatkan selepas dipercayai terperangkap di tapak perkhemahan.
Beliau berkata tanah runtuh berketinggian 30 meter berhampiran ladang organik itu telah menghempap tapak perkhemahan yang berdekatan dengan jalan.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang, BBP Genting Highlands, BBP Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, BBP Kota Anggerik, BBP Kajang, BBP Andalas dikerahkan ke lokasi.