Pentingnya sokongan dua pertiga buat Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memperoleh sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bagi mengelak berulangnya ketidaktentuan pentadbiran yang dialami negara sepanjang penggal lepas.

KUALA LUMPUR— Isnin ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berdepan satu lagi ujian getir yang akan menentukan sama ada pelantikan beliau selaku Perdana Menteri ke-10 diterima dengan sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat atau sebaliknya.


Usul undi percaya kepada beliau yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 itu, diutarakan sendiri oleh Anwar yang mahu mengabsahkan kedudukannya sekalipun ada pihak berpendapat beliau  “mencari nahas”.


Dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar beliau menerajui kerajaan perpaduan, Anwar dilaporkan yakin akan menerima undi dua pertiga ahli Dewan Rakyat sekalipun desas-desus menyatakan ada kumpulan tertentu daripada parti yang menyertai kerajaan perpaduan itu tidak menyokong beliau sebagai Perdana Menteri ke-10.


Realitinya, ramai pemerhati politik berpendapat tindakan Anwar mendepani undi percaya itu sebagai langkah tepat bagi memastikan kestabilan kerajaan perpaduan yang dipimpinnya. Lebih-lebih lagi apabila setiap gabungan dan parti yang menyokong kerajaan perpaduan itu mempunyai ideologi perjuangan yang berbeza.

 

Mesti Dua Pertiga

 

Mengulas hal itu, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata amat kritikal bagi Anwar memperoleh sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bagi mengelak berulangnya ketidaktentuan pentadbiran yang dialami negara sepanjang penggal lepas.


“Dalam keadaan majoriti mudah, kerajaan masih terjamin tetapi ia tidak teguh, dan pada bila-bila masa sahaja ada risiko parti yang membentuk kerajaan perpaduan itu bertindak keluar sekiranya tidak puas hati dengan sesuatu perkara, maka episod ketidakstabilan politik seperti pentadbiran lepas berlaku lagi. 


“Tambahan pula, akta lompat parti (Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 ) hanya menghalang individu (wakil rakyat daripada bertukar parti) tetapi tidak (menyekat) parti untuk keluar daripada kerajaan.  Keadaan ini pastinya akan bermasalah pada masa depan sekiranya Anwar gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga,” katanya kepada Bernama. 


Buat masa ini, kerajaan perpaduan itu diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 82 kerusi Dewan Rakyat dan disertai oleh Barisan Nasional (BN) dengan 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6) dan disokong oleh beberapa parti kecil dan wakil rakyat Bebas. Blok kerajaan ini berdepan dengan Perikatan Nasional (PN) selaku pembangkang dengan 74 kerusi.


 Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal yang juga Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, berkata pada usul undi percaya Isnin ini, Anwar memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 wakil rakyat bagi memperoleh majoriti dua pertiga.


“Dengan adanya sokongan majoriti dua pertiga, ia dapat membantu kerajaan pimpinan Anwar untuk menumpukan atau fokus sepenuhnya kepada usaha memulihkan ekonomi, membangunkan negara dan menyejahterakan kehidupan rakyat,” kata Nik Ahmad Kamal. 


Berdasarkan pada Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada ahli-ahli Parlimen, usul undi percaya kepada Anwar itu adalah agenda kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.


Dilaporkan, usul undi percaya pernah dibuat terhadap Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri Ketiga pada 27 Jan 1976 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Kelima pada 3 Nov 2003.

 

Jangkaan Tipis

 

Dalam pada itu, Felow Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir ketika ditanya tentang kemungkinan Anwar gagal memperoleh sokongan yang diperlukan, beliau berkata peluang untuk hal itu berlaku adalah tipis.


Menurutnya, beliau percaya Anwar menerima sokongan padu kesemua wakil rakyat daripada parti-parti yang menyertai kerajaan perpaduan itu.


"Beliau (Anwar) sudah memperoleh majoriti, maka tidak ada sebab untuk wakil rakyat berkenaan belot ataupun mengkhianati amanah yang telah diberi kepadanya (oleh parti).


"Apatah lagi, kerajaan perpaduan ini dibentuk hasil cadangan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Maka, untuk mereka bertindak berlawanan dengan hasrat itu, adalah sesuatu yang bukan saja menjejaskan imej mereka sebagai wakil rakyat tetapi pasti akan menjejaskan kedudukan perdana menteri serta kerajaan perpaduan," katanya.


Beliau menyifatkan risiko yang diambil oleh Anwar pada Isnin depan sebagai langkah terbaik bagi menangkis tanggapan negatif selain meningkatkan reputasi Anwar di dalam dan luar negara.


Ini katanya akan membawa impak positif terhadap pasaran saham dan juga pelaburan asing di negara ini.


Pada masa sama, Jeniri juga percaya masyarakat akan memantau tindak-tanduk barisan jemaah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar itu, khususnya dari segi kredibiliti mereka.


“Kerajaan baharu perlu dilihat berupaya, dan (sekarang) ini merupakan tempoh untuk dibuktikan, khususnya Anwar, mengotakan janji serta membuktikan bahawa pimpinan beliau lebih baik daripada kerajaan sebelumnya,” kata Jeniri. 

Next Post Previous Post