Wanita maut dikelar di leher dipercayai disamun
TAWAU—Seorang wanita maut akibat dikelar di leher dipercayai disamun dalam kejadian di Kampung Titingan di sini malam ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supt Champin Piuh berkata pihaknya menerima laporan kejadian terhadap warga asing berusia lingkungan 30-an berkenaan pada 7.30 malam.
"Terdapat kesan cedera di leher mangsa disyaki dikelar dengan objek tajam dan maklumat awal polis mendapati mangsa bersama anak perempuannya berusia setahun sedang berjalan kaki dari rumahnya untuk ke rumah kakaknya di seberang jalan bagi mengambil sayur.
"Apabila sampai di lorong gelap, mangsa dipercayai disamun kerana mangsa juga dipercayai memakai rantai serta subang dan barang kemas itu hilang," katanya kepada pemberita di sini malam tadi, lapor Bernama.
Champin berkata bagaimanapun siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan termasuk mengesan suspek terlibat.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan selanjutnya," katanya.
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.