Sarawak antara negeri terbaharu terjejas banjir

Tiga negeri iaitu Sarawak, Selangor dan Sabah di landa banjir, Sarawak antara negeri terbaharu terjejas banjir
Anggota Bomba membantu memindahkan sebahagian mangsa banjir di Kampung Baru Samarahan hari ini. Gambar kredit UPA Bomba Sarawak

KUALA LUMPUR— Tiga negeri iaitu Sarawak, Selangor dan Sabah kini turut terjejas banjir menjadikan jumlah negeri dilanda banjir meningkat kepada lapan negeri, setakat 10 pagi ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di tiga negeri itu.


“Di Selangor, sebanyak dua PPS dibuka di dua daerah  (Petaling dan Kuala Selangor), melibatkan 57 mangsa yang terdiri daripada 18 ketua isi rumah; manakala di Sarawak, tiga PPS dibuka di dua daerah (Bau dan Kuching) melibatkan 104 mangsa dengan 28 ketua isi rumah.


"Selain itu di Sabah, dua PPS dibuka di satu daerah, Pitas melibatkan 222 mangsa dengan 37 ketua isi rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Bernama.


Beliau berkata pengurusan banjir di daerah terlibat di ketiga-tiga negeri masih berada pada tahap satu iaitu di bawah kawal selia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) masing-masing.


Bagaimanapun, Armizan berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat yang beroperasi 24 jam akan sentiasa memantau dan bersedia untuk sebarang pendekatan intervensi sekiranya diperlukan.


“Setakat ini sebanyak tujuh siri amaran hujan berterusan telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) semenjak bermulanya monsun timur laut 2022/2023 pada 7 Nov lepas.


“Siri amaran ketujuh masih lagi berkuat kuasa dan luruan monsun kedua yang bermula 17 Dis 2022 dijangka berterusan sehingga 26 Dis 2022,” katanya. 


Menurut ramalan MetMalaysia, hujan berterusan dijangka berlaku di Sabah, Sarawak dan Labuan, bermula hari ini.


Dalam perkembangan berkaitan, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samarahan membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Baru, Samarahan hari ini.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sebanyak 17 buah keluarga berjaya dipindahkan ke PPS SK Kampung Baru. 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.