Pesara rugi RM128,037 diperdaya 'pegawai mahkamah'
KUANTAN-- Seorang pesara mengalami kerugian sebanyak RM128,037 selepas terpedaya dengan penyamaran oleh ‘pegawai' dari Mahkamah Pulau Pinang yang mendakwanya mempunyai saman tertunggak.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pada 14 Dis lepas, wanita berusia lingkungan 60-an itu telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang memaklumkannya mempunyai saman mahkamah kerana tidak membayar tunggakan Touch N Go sebanyak RM11,800.
“Mangsa kemudiannya telah disambungkan kepada beberapa individu menyamar sebagai polis yang memberitahu dia mempunyai rekod kes jenayah dan memintanya untuk memindahkan wang bagi mengelakkan akaun dibekukan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Sejurus itu, mangsa telah membuat pemindahan wang secara berperingkat berjumlah RM128,037 ke dalam sebuah akaun sebelum menyedari wang dalam akaun itu telah berkurangan setelah semakan dibuat.
Justeru, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Ramli mengulangi nasihatnya supaya orang ramai sentiasa berwaspada dengan panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali dan membuat semakan terperinci terlebih dahulu sebelum bertindak.
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.