MOTAC akan dapatkan maklumat terperinci, kata Tiong

Seni dan Budaya (MOTAC), Jerjasama antara agensi MOTAC dan pemain industri, MOTAC akan dapatkan maklumat terperinci
Menurut Tiong, pertemuannya bersama Abang Johari antara lain menyentuh hal berkaitan kerjasama MOTAC dan kerajaan negeri untuk meningkatkan industri pelancongan Sarawak. Gambar kredit Pejabat Premier Sarawak

KUCHING—Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mendapatkan maklumat terperinci daripada setiap agensi di bawahnya sebelum menetapkan perancangan baharu kementerian, kata Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing.


Beliau berkata kerjasama antara agensi MOTAC dan pemain industri diperlukan untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam usaha merancakkan semula ekonomi pelancongan, seni dan budaya negara. 


“Taklimat daripada setiap agensi akan bermula minggu depan, jadi saya hanya akan kongsikan perincian (berkaitan taklimat dan perancangan MOTAC) selepas selesai taklimat,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Tan Sri Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini, lapor Bernama.


Menurutnya setakat ini, beliau hanya menerima taklimat daripada MOTAC sahaja. 


Baru-baru ini, dalam satu hantaran di akaun Facebook rasminya, Tiong memaklumkan beberapa kelemahan melibatkan polisi dan dasar MOTAC telah dikenal pasti setelah ia disemak dan diteliti.


Menurut hantaran itu, beliau sedang berusaha untuk memperbaiki dasar dan polisi berkenaan. 


Ditanya mengenai perancangan membantu golongan penggiat seni Orang Kurang Upaya (OKU), Tiong memaklumkan MOTAC bersedia untuk bekerjasama serta berbincang dengan persatuan kebudayaan yang berkaitan bagi memperjuangkan nasib golongan itu. 


Dalam pada itu, Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata pertemuannya bersama Abang Johari antara lain menyentuh hal berkaitan kerjasama MOTAC dan kerajaan negeri untuk meningkatkan industri pelancongan Sarawak. 


Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan secara lanjut bersama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam masa terdekat. 


“Beliau (Abdul Karim) akan datang ke pejabat saya dan kami akan berbincang lanjut bagaimana Kerajaan Persekutuan dan Negeri boleh berkolaborasi untuk industri pelancongan,” tambahnya.

LihatTutupKomentar