Parti sokong Kerajaan Perpaduan meterai perjanjian esok, kata TPM Fadillah


PUTRAJAYA-- Satu majlis menandatangani perjanjian antara ketua-ketua parti bagi menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan akan diadakan esok, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Beliau yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata perjanjian itu akan ditandatangani ketua-ketua parti yang bersetuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) berbual dengan graduan selepas Majlis Konvokesyen Institut Perladangan Dan Komoditi (IMPAC) ke-8 di Putrajaya hari ini. Gambar kredit FB Kementerian Perladangan dan Komoditi


"Esok akan ada upacara menandatangani satu perjanjian antara semua parti yang bersetuju untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Di situ nanti (media) boleh bertanya apakah kandungan perjanjian tersebut dan fokusnya," katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) di sini hari ini.


Ditanya manifesto parti mana yang akan dipilih untuk dilaksanakan dalam Kerajaan Perpaduan, Fadillah secara ringkas berkata tiada perbincangan berhubung perkara itu kerana kerajaan sekarang bukan berasaskan parti, lapor Bernama.


"Satu daripada keutamaan kita (Kerajaan Perpaduan) adalah berhubung kait dengan kos sara hidup," katanya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.


Mengenai fokus perjanjian tersebut, Fadillah berkata beliau tidak pasti kerana tidak terlibat dan hari ini beliau akan menghadiri mesyuarat di peringkat GPS untuk melihat kandungan perjanjian itu.


Sementara itu, mengenai pemotongan gaji, beliau berkata pemotongan gaji yang diputuskan hanya melibatkan Jemaah Menteri sahaja.


“Setakat ini diputuskan hanya menteri. Saya tak pasti sama ada merangkumi timbalan menteri,” katanya.


Pada 5 Dis lepas, Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan dalam mesyuarat Kabinet bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan, yang akan dilaksanakan sehingga ekonomi negara kembali pulih.
Next Post Previous Post