Maxis labur untuk salinghubungan lebih baik di Sabah dan Sarawak


KUALA LUMPUR— Maxis Bhd (Maxis) telah membina seni bina rangkaian Teras Serantau di Kuching dan Kota Kinabalu untuk memenuhi kapasiti trafik pengguna mudah alih yang lebih besar dan capaian kesalinghubungan kandungan antarabangsa secara langsung di dua negeri tersebut.


Maxis dalam satu kenyataan berkata rangkaian itu memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik dengan kelajuan lebih tinggi dan kadar kependaman yang lebih rendah terutamanya untuk aktiviti berkaitan video.


“Sebelum ini, pelayan teras di pusat data Lembah Klang Maxis memberi perkhidmatan kepada pengguna internet mudah alih di seluruh negara tetapi jarak Sabah dan Sarawak dari Lembah Klang menambah kadar kependaman kepada pengalaman pengguna di kedua-dua negeri tersebut,” katanya, lapor Bernama.


Ia berkata purata penggunaan data mudah alih bulanan pengguna Maxis di Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi daripada purata nasional dengan 32GB setiap pengguna dan pertumbuhan yang konsisten bagi tempoh suku ke suku.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata teras serantau baharu Maxis itu merupakan pelaburan penting untuk meningkatkan pengalaman Internet pelanggannya dan ia dapat memenuhi volum data yang tinggi serta pertumbuhan volum dijangkakan.


“Sepanjang tempoh penilaian selama tiga bulan, pelayan teras yang baharu dilancarkan di Kuching dan Kota Kinabalu menghasilkan peningkatan ketara pada kependaman Internet dan kelajuan keseluruhan untuk pengguna di kedua-dua negeri berkenaan terutamanya untuk penstriman video dan permainan mudah alih,” katanya.


Di Sarawak, kependaman telah bertambah baik daripada 48 milisaat (ms) kepada 23ms manakala kelajuan muat turun meningkat daripada 31Mbps kepada 43Mbps manakala kependaman di Sabah ialah 25ms berbanding 53ms dan kelajuan muat turun melonjak daripada 25Mbps kepada 40Mbps.


Maxis juga turut meningkatkan persediaan dan proses operasinya untuk mengurus teras serantau baharu dengan menempatkan pasukan sokongan di lapangan yang berdedikasi serta pengurusan prestasi dan papan pemuka untuk memantau trafik mudah alih.

Next Post Previous Post