Bung Moktar, Zizie Izette fail rayuan mahkamah tolak semak keputusan bela diri

Pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad, Bung Moktar, Zizie Izette fail rayuan mahkamah tolak semak keputusan bela diri
Bung Moktar Radin, Zizie Izette Abdul Samad. Gambar kredit Sinar Harian


KUALA LUMPUR— Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.


Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How ketika dihubungi pemberita berkata notis rayuan itu telah difailkan di Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu (9 Dis).


Berdasarkan notis itu, kedua-dua mereka memohon salinan nota-nota keterangan dan alasan penghakiman di bawah Peraturan 61 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994.


Law berkata setakat ini prosiding bela diri kedua-dua tertuduh yang sebelum ini ditetapkan pada 3 Jan, 9 hingga 13 Jan 2023 dikekalkan, lapor Bernama.


Pada 9 Dis lepas, Bung Moktar dan isterinya gagal dalam permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan itu setelah Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan terhadap permohonan tersebut.


Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.


Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.


Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.