Lelaki warga emas rugi RM100,000

Lelaki terpedaya panggilan sindiket Macau Scam melalui telefon, Lelaki warga emas rugi RM100,000



KUCHING-- Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian sebanyak RM100,000 selepas terpedaya dengan panggilan sindiket Macau Scam melalui telefon semalam.


Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia lewat 60-an telah dihubungi melalui telefon oleh suspek yang menyamar sebagai Sarjan Suraya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Pulau Pinang.


"Suspek memberitahu mangsa mempunyai surat saman daripada mahkamah yang mesti diselesaikan segera.


"Mangsa kemudian disambungkan kepada Inspektor Faizal Ahmad bertujuan membuat semakan lanjut berkaitan namanya yang telah digunakan penama, Tan Boon Huat untuk mendaftar sebhah syarikat di Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, syarikat terbabit iaitu Syarikat Top Plus Enterprise pembekal alat tulis dan peralatan pejabat mempunyai hutang tertunggak selama 15 bulan sebanyak  RM36,800.82. 


"Surat mahkamah telah dikeluarkan atas nama mangsa dan mangsa perlu memberi kerjasama dalam tindakan selanjutnya," katanya.


Beliau berkata, mangsa diminta memberikan maklumat peribadi dan seterusnya suspek mengarahkan mangsa berhubung dengan pegawai atasan mereka iaitu Asisten Komisioner Zulkipli untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan kes mangsa.


"Asisten Komisioner Zulkipli mengatakan mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan kes pengedaran dadah bersama Tan Boon Huat dan boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat.


"Untuk menyelesaikan perkara itu mangsa perlu menyerahkan maklumat perbankan Bank Islam dan Bank CIMB yang didfatarkan atas nama syarikat mangsa dan juga atas nama mangsa," katanya.


Katanya, semasa siasatan sedang dijalankan mangsa telah diberikan jaminan bahawa waran tangkap akan ditangguhkan sementara sehingga siasatan ke atas akaun bank mangsa selesai.


"Mangsa turut dipesan supaya tidak melakukan sebarang transaksi berkaitan akaun terbabit.


"Menyedari sesuatu perkara yang tidak betul, mangsa kemudian tampil ke balai polis terdekat untuk membuat semakan dan pihak polis memberitahu bahawa mangsa telah ditipu scammer," katanya.


Abang Zainal Abidin berkata, akibat daripada mendedahkan maklumat perbankannya mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM100,000.


Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Padawan menerima laporan berhubung kes itu hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.