Kota Samarahan bakal menjadi hab perubatan, Abang Johari


KUCHING— Kota Samarahan bakal menjadi hab perubatan apabila beberapa projek yang sedang dibangunkan siap, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Kini terdapat sebuah pusat jantung di kawasan tersebut yang sudah beroperasi lebih 10 tahun, kata beliau. 


Terbaharu, sebuah pusat penyelidikan penyakit berjangkit tropika sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2024 dengan kos RM200 juta, kata beliau lagi.



Abang Johari berucap pada majlis ulang tahun ke-50 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sebuah hotel di sini, semalam.


Beliau berkata UNIMAS juga sedang membina sebuah hospital pengajar 300 katil dan pusat kesihatan prima sebagai kemudahan tambahan kepada hospital-hospital sedia ada di sini. 


Fasa pertama projek tersebut dijangka siap pada tahun hadapan dan keseluruhannya pada 2025 dengan kos RM486 juta. 



Selain itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak menganggap pembinaan sebuah hospital kanser di kawasan tersebut amat penting untuk mempertingkat keupayaan rawatan yang amat terhad ketika ini.


“Kerajaan Sarawak sanggup menyediakan “hardware” dan Kerajaan Persekutuan “software” untuk pusat ini untuk mempercepatkan pembinaannya,” ujar beliau. 


Di samping itu, Sarawak melalui Perbadanan  Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sedang meneroka kerjasama dengan syarikat daripada Amerika Syarikat untuk membangunkan Hab Teknologi dan Innovasi Perubatan Sarawak (SMITH) di kawasan tersebut.


Syarikat tersebut, Arrow Medsource Group (AMG) adalah sebuah syarikat yang dikaitkan dengan penyediaan solusi kepada rantaian global pembekalan perubatan.

 

Hadir sama isteri Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, kedua-dua Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof. Sim Kui Hian.

Next Post Previous Post