Isu dana RM600 bilion semasa kerajaan PN, MoF sahkan ada pelanggaran prosedur


PUTRAJAYA—Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada badan siasatan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu. 


Dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini, beliau berkata Kementerian Kewangan (MoF) telah memaklumkan mengenai beberapa pelanggaran melibatkan isu dana itu.


“Beberapa keputusan menyiasat langkah perbelanjaan RM600 bilion tanpa tender itu bukan urusan saya untuk putuskan. 


Kementerian Kewangan memberi makluman beberapa pelanggaran itu tetapi ini kita serah kepada badan siasatan untuk lihat sejauh mana pelanggaran rasuah dan penyelewengan berlaku,” katanya.


Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.


Semalam, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata beliau tidak takut untuk disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini, lapor Bernama.


Muhyiddin berkata ini kerana beliau tahu beliau tidak melakukan penyelewengan duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi membantu orang ramai semasa zaman susah, terutamanya ketika pandemik COVID-19. 


Ditanya adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan diwujudkan berhubung isu dana RM600 bilion, Anwar berkata perkara itu belum dibawa untuk perbincangan dengan Jemaah Menteri. 


“Saya tahu makluman daripada pegawai, ada beberapa pelanggaran serius… perolehan terlampau banyak untuk uruskan projek,” katanya.


Anwar bagaimanapun menjelaskan beliau tidak cenderung untuk menyerang secara peribadi dan memberi tumpuan terlalu banyak tentang pentadbiran kerajaan terdahulu. 


“Saya ingin tumpu urus ekonomi negara, beri keyakinan (kepada pelabur) dan sekarang nampak baik pelaburan India, China, Amerika Syarikat  dan Eropah untuk jana petumbuhan ekonomi,” katanya.


Mengenai keputusan Polis Diraja Malaysia menyiasat isu berkaitan perkauman dan keagamaan, beliau berkata perkara itu bukan arahan beliau atau Kerajaan Perpaduan pimpinannya.


“Ini ketetapan dalam perlembagaan dan kenyataan tegas Majlis Raja-Raja Melayu iaitu kewaspadaan terhadap memainkan sentimen perkauman dan sikap pelampau agama.


Arahan itu dari Raja-Raja Melayu untuk patuhi perlembagaan dan ini tidak boleh disamakan dengan kritikan terhadap perdana menteri dan kerajaan.


“Saya pun tidak pernah arahkan (isu perkauman dan keagamaan disiasat), malah beritahu Ketua Polis Negara bahawa kritikan kepada perdana menteri dan kerajaan dalam sistem demokrasi dibenarkan dan diizinkan,” katanya.


Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menyemak pelan 5G, Anwar berkata beliau telah mengarahkan  pelan itu disemak semula kerana tidak dilaksanakan secara telus oleh kerajaan sebelum ini dan ketiadaan proses tender sewajarnya.  


“Maka, ia perlu disemak semula bagi memastikan kami mematuhi prosedur kewangan yang ketat untuk memastikan perkara itu dilakukan dengan betul,” katanya.

Next Post Previous Post