Kegiatan lelaki miliki senjata api, peralatan serta baiki senjata api terbongkar


SERIAN--Seorang lelaki yang memiliki senjata api, peralatan berkaitan senjata api serta menjadikan kediaman sebagai tempat membaiki senjata api sejak tiga tahun lalu terbongkar selepas ditangkap pihak polis di sebuah kampung Batu 19, Jalan Kuching-Serian di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia lewat 50-an itu ditahan dalam operasi khas Op Laras pasukan polis Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan jam 11.30 pagi.



"Antara yang berjaya dirampas ialah pelbagai komponen senapang patah, peralatan yang digunakan untuk membuat atau membaiki senjata, dua unit senapang angin yang lengkap dan juga amunisi.


"Tangkapan ini berjaya dilakukan hasil daripada intipan serta risikan maklumat sebelum ini," katanya dalam kenyataan hari ini.



Menjelas lanjut, katanya, siasatan mendapati bahawa kegiatan suspek terbabit bermula sejak tiga tahun lalu bagi menambah pendapatan sampingan.


"Suspek mendapat upah berbeza-beza mengikut tahap kerosakan senjata yang dihantar kepadanya.



"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan juga mengikut Seksyen 9(2) Akta yang sama atas kesalahan tidak memiliki sebarang lesen senjata api dan amunisi serta menggunakan tempat kediaman sebagai bengkel membaiki senjata tanpa lesen yang sah," ujarnya.



Katanya,jika disabitkan kedua-dua kesalahan terbabit, suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun dan juga denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


Abang Zainal Abidin turut mengingatkan masyarakat awam agar sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa agar tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Next Post Previous Post