Kanak-kanak 3 tahun, bekas imam ditemukan lemas

Kanak-kanak lelaki lemas selepas terjatuh dari jambatan tali air, Kanak-kanak lelaki yang lemas di Kampung Kebor Besar, Mayat Sufi Eijaz ditemukan
Mangsa Muhammad Sufi Eijaz Mohd Sobrey, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 11.34 pagi pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. Gambar FB Ridzuan Hashim.

KUALA TERENGGANU—Mayat kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jambatan tali air di Kampung Kebor Besar di Manir dekat sini petang semalam, ditemukan pagi tadi.


Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Mohd Mazimi Mohamad berkata mangsa Muhammad Sufi Eijaz Mohd Sobrey, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 11.34 pagi pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.


“Pasukan mencari dan menyelamat menemukan mayat mangsa dalam keadaan terapung dan Alhamdulillah keadaan mangsa masih sempurna,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.


Mohd Mazimi berkata operasi pencarian mangsa sejak petang semalam melibatkan 68 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia, Anggota Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk tempatan.


Ibu mangsa Nurul Ain Bakkeri, 33, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat serta orang ramai kerana akhirnya jasad anaknya berjaya ditemukan.


“Sejak mengetahui anak saya lemas petang semalam, tiada apa yang saya harapkan kecuali jasadnya ditemui, kerana saya ingin sangat-sangat untuk jumpa dengan jasad anak saya itu,” katanya, lapor Bernama.


Dalam kejadian sekitar 4 petang semalam, Muhammad Sufi Eijaz yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu, dikatakan sedang bermain di atas jambatan tersebut bersama abangnya Muhammad Syakir Wafiuddin, 8, sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam air.


Bapa mangsa Mohd Sobrey Ramli, 32, ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian semalam berkata beliau bersama ketiga-tiga anak, datang ke kawasan tali air tersebut dengan motosikal untuk bersiar-siar sebelum menghantar mereka ke kelas mengaji di kawasan berdekatan.


Namun sebaik tiba di tempat kejadian, Muhammad Sufi Eijaz dan Muhammad Syakir Wafiuddin meluru turun daripada motosikal menuju ke tali air, kerana teruja melihat ramai kanak-kanak sedang mandi-manda, sebelum Muhammad Syakir Wafiuddin memberitahu bahawa adiknya hilang.


Pengawal keselamatan di Politeknik Kuala Terengganu itu berkata beliau yang ketika itu sedang menguruskan anak bongsunya, Muhammad Shafiq Arshad, 1, dengan pantas terjun ke dalam air dan cuba mencari anaknya, namun usahanya hanya sia-sia kerana arus di bawah air sangat deras dan dalam.


Sementara itu dalam kejadian berasingan, mayat bekas imam masjid yang terjatuh ke dalam kolam udang di Kampung Fikri di Setiu semalam, berjaya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada 10.54 pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata mayat Zakaria Mat Nong, 72, yang berasal dari Kampung Beris Tok Ku di Setiu, ditemukan kira-kira 1.7 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.


Afandi berkata mayat mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ke Sungai Fikri yang bersambung dengan kolam udang tersebut, sebelum pasukan mencari dan menyelamat menemukan mayat mangsa tersangkut pada rimbunan pokok nipah yang terdapat di tebing sungai tersebut.


Beliau berkata Zakaria dikatakan tergelincir dari tebing kolam udang tersebut, ketika sedang menjala pada jam 7 malam semalam dan kejadian itu disaksikan beberapa penduduk kampung sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.