Dua mengalami kecederaan, kereta dinaiki hilang kawalan lalu terbabas


BINTULU: Dua mengalami kecederaan selepas kereta model Toyota Camry yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke kawasan semak di kawasan Batu 22, Jalan Miri-Bintulu pada jam 1.04 petang tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta mengeluarkan kedua-dua mangsa yang masih tersepit pada kenderaan. 



"Sejurus sampai di lokasi berlakunya kemalangan, pasukan bomba mendapati sememangnya berlaku kemalangan kendiri yang melibatkan sebuah kereta yang terbabas ke kawasan semak tepi jalan," jelas beliau.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang merupakan seorang lelaki dan wanita  pada bahagian kerusi pemandu dan penumpang hadapan.



Selepas kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian tangan kiri kemudiannya dihantar ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut.


Identiti kedua-dua mangsa bagaimanapun masih lagi belum diketahui.

Next Post Previous Post