Siti Hurrairah pengerusi wanita pertama Shell Malaysia

Shell Malaysia melantik Siti Hurrairah Sulaiman sebagai pengerusi negaranya yang baharu berkuat kuasa 1 Jan, 2023. Gambar kredit Shell

KUALA LUMPUR—Shell Malaysia melantik Siti Hurrairah Sulaiman sebagai pengerusi negaranya yang baharu berkuat kuasa 1 Jan, 2023.


Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata Siti Hurrairah akan menyelia semua perniagaan Shell Malaysia di samping menggalas tugasnya sebagai naib presiden kanan perniagaan huluan di Malaysia. 


Beliau akan menggantikan Datuk Ivan Tan, yang akan memegang jawatan sebagai naib presiden eksekutif, Wells, bagi kumpulan Shell dan akan berpangkalan di The Hague, Belanda, lapor Bernama.


Siti Hurrairah bermula di Shell sebagai pemegang biasiswa syarikat itu dan menamatkan pengajian daripada Imperial College di London dengan ijazah kelas pertama dalam kejuruteraan mekanikal dan memulakan kerjayanya sebagai jurutera operasi di bahagian huluan Shell Malaysia.


Pada awal kerjayanya, beliau memegang pelbagai jawatan dalam bahagian pembangunan, perancangan, komersial dan strategik syarikat itu di United Kingdom dan Malaysia.


Pada 2011, beliau dilantik sebagai pengurus aset dan pengarah wanita Malaysia pertama bagi Sabah Shell Petroleum Company Ltd, yang bertanggungjawab bagi operasi minyak dan gas huluan Shell di Sabah. 


Pada 2015, Siti Hurrairah berpindah ke London bagi menggalas jawatan sebagai pengurus besar operasi komersial perniagaan dagangan dan bekalan Shell yang mana beliau bertanggungjawab bagi perkhidmatan komersial global kumpulan Shell. 


"Siti Hurrairah akan menjadi pengerusi negara wanita pertama dan naib presiden kanan bagi Shell Malaysia," kata Shell Malaysia.

Next Post Previous Post