Bayi lelaki 3.4 kilogram kejutkan pasangan suami isteri

Semoga membesar jadi insan yang sentiasa membahagiakan ibu ayah serta berbakti kepada negara.

KUCHING - Sakit perut disangkakan senggugut sewaktu berkelah bersama keluarga di Pantai Pugu, Lundu seorang wanita terkejut apabila diberitahu doktor pusat perubatan pakar swasta awal pagi tadi bahawa dia bakal melahirkan anak.


Ibu muda yang berusia 29 tahun itu sudah lebih dua tahun mendirikan rumahtangga, dan mempunyai seorang anak lelaki berusia setahun tiga bulan itu tidak menyedari dirinya mengandung kerana datang haidh setiap bulan seperti biasa.


Pagi semalam mereka sekeluarga berkelah ke Pantai Pugu, apabila dia merasakan dirinya tidak sihat serta sakit perut dan mengalami pendarahan yang disangkanya haidh serta sakit senggugut.


Selesai perkelahan, mereka balik ke Kuching, beliau cuba meredakan kesakitan dengan minum air halia kerana menyangkakan ia sakit biasa seorang wanita apabila datang haidh.


Apabila sakit semakin tidak tertahan, beliau dan suaminya pergi ke pusat perubatan pakar pada jam 12.30 pagi tadi kerana tidak sanggup menunggu lama serta mengganggu kes lebih serius yang mendapat keutamaan di hospital awam berbanding wanita sakit perut datang bulan tengah malam.


Apabila sampai di pusat perubatan swasta itu, doktor terkejut apabila memeriksa wanita itu serta mendapati bukaan sudah sebesar 8 sentimeter.


Menyedari kos beranak agak tinggi di hospital swasta, doktor itu dengan jujur memberitahu pasangan muda itu mereka boleh memilih untuk pergi bersalin ke hospital kerajaan tetapi dalam masa yang sama memberitahu wanita itu boleh melahirkan anak bila-bila masa sahaja.


Mujurlah pasangan muda lulusan sebuah institusi pengajian tinggi awam di Mukah itu mempunyai wang simpanan untuk urusan membeli rumah impian mereka. 


Memandangkan risiko terlalu tinggi untuk bertukar ke hospital awam kerana bukaan sudah terlalu besar, mereka memberitahu doktor untuk menyediakan wad bersalin. 


Betul seperti diramalkan, wanita itu sakit perut pada jam 3.30 pagi dan selamat melahirkan anak pada jam 4.05 minit pagi tadi.


“Bayi lelaki seberat 3.4 kilogram itu sihat, namun masih ditahan di pusat perubatan selama empat hari untuk pengawasan kerana mereka tidak pernah menjalani sebarang pemeriksaan atau memiliki kad merah jambu (seperti abang bayi itu) dan ibu nya juga baik-baik sahaja,” kata emak, wanita itu ketika dihubungi Borneo Network malam ini.

Next Post Previous Post