4 pelajar sekolah ditahan bergaduh sebab campak duit beli minuman

Pergaduhan dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Kajang cedera, Pelajar sekolah ditahan bergaduh sebab campak duit beli minuman

KUALA LUMPUR—Perselisihan faham melemparkan duit ketika membeli minuman di kantin semasa waktu rehat membawa kepada pergaduhan menyebabkan dua pelajar di sebuah sekolah menengah di Kajang cedera, semalam.


Susulan itu, empat remaja lelaki berumur lingkungan 15 hingga 16 tahun ditahan pada 8.50 malam tadi.


Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis juga telah mengesan kejadian ini tular dalam media sosial semalam dan pergaduhan itu berlaku di dua lokasi berlainan berhampiran sebuah sekolah.


Beliau berkata polis menerima laporan kes berkenaan semalam daripada seorang pelajar berusia 16 tahun menyatakan dirinya bersama seorang lagi rakannya telah dipukul sekumpulan pelajar sekolah.


“Punca kejadian disebabkan rentetan perselisihan faham di dalam sekolah (pada Rabu lepas) apabila pengadu telah salah faham dengan rakan suspek kerana disyaki melemparkan duit semasa membeli minuman di kantin pada waktu rehat,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.


Mohd Zaid berkata perselisihan faham itu berlarutan apabila kedua-dua pihak telah bertumbuk akibat tidak berpuas hati dan suspek bertindak meminta bantuan daripada rakan-rakan sekolah lain untuk membalas dendam terhadap mangsa.


“Pemeriksaan ke atas pengadu dan mangsa mendapati kedua-duanya mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan badan. Kesemua tangkapan merupakan remaja bawah umur yang bersekolah di sekolah yang sama dengan pengadu. 


“Polis akan memohon reman kesemua suspek di Mahkamah Bandar Baru Bangi hari ini. Pihak polis juga masih mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes ini bagi membantu siasatan,” katanya.


Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes Insp K. Suresh menerusi talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

LihatTutupKomentar