Percepatkan pembinaan SSLR, harapan usahawan kepada Kabinet Anwar

Pelantikan wakil menteri dari blok Borneo, Kabinet Kerajaan Perpaduan, Pembangunan infrastruktur khususnya di kawasan bersempadan dengan Brunei

MIRI— Usahawan tempatan berharap pelantikan wakil menteri dari blok Borneo dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan dapat merancakkan pembangunan infrastruktur khususnya di kawasan bersempadan dengan Brunei.


Antaranya Projek Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) yang akan menghubungkan Lawas, Limbang terus ke Miri tanpa melalui Brunei sepanjang 77 kilometer (km) yang kini dalam pembinaan.


Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Cawangan Miri (DUBS) Mohammad Hafidz Rohani berharap projek ini dapat dipercepat untuk memudahkan perjalanan penduduk dari kedua-dua negeri tanpa melalui Brunei.


“Kami berharap ahli jemaah menteri Malaysia ini dapat memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak terutamanya dalam perjuangan mendapatkan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963).


"Lantikan Datuk Seri Fadilah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri juga merupakan lantikan yang ditunggu dan dijangka oleh rakyat Sarawak. Berbekalkan pengalaman luas dalam jemaah menteri sebelum ini, beliau pasti akan dapat membawa suara negeri ini dengan lebih berkesan," ujarnya.


Walaupun portfolio Kementerian Kerja Raya dipegang oleh Datuk Alexander Nanta Linggi, beliau berharap pembangunan fasiliti dan infrastruktur yang selayaknya untuk dua negeri ini dapat direalisasikan.


Dalam pada itu, lantikan muka baharu dari Sarawak iaitu Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan juga menunjukkan keyakinan dari  kerajaan persekutuan terhadap wakil dari Sarawak. 


"Pengalaman beliau diharap dapat membawa lebih banyak perubahan kepada industri pelancongan Sarawak," katanya.


"Sebagai usahawan pastinya kita menantikan dasar-dasar baik sebelum ini diteruskan oleh Datuk Ewon Benedick dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Kami berharap lebih banyak bantuan bersasar diberikan kepada usahawan,”kata Mohamad Hafidz.


Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik tujuh menteri termasuk lima wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan dua dari Sabah iaitu masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sarawak (GRS).


Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selain memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi. 


Empat wakil GPS adalah Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan), Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara). 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.