Tengku Zafrul, Saifuddin, Na’im dan Zambry angkat sumpah senator

Empat daripada 28 Jemaah Menteri yang akan menganggotai Kabinet Kerajaan, Tengku Zafrul, Saifuddin, Na’im dan Zambry angkat sumpah senator

KUALA LUMPUR— Empat daripada 28 Jemaah Menteri yang akan menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh sepenggal berkuat kuasa hari ini.


Upacara mengangkat sumpah jawatan berkenaan berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim di Bangunan Parlimen, di sini, pada 8.30 pagi.


Mereka yang mengangkat sumpah jawatan itu ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan menerajui Kementerian Dalam Negeri dan bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


Turut mengangkat sumpah jawatan senator ialah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang memegang jawatan Menteri Luar dan Ketua Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang dilantik sebagai Menteri Agama.


Saifuddin Nasution, Zambry dan Mohd Na’im ialah lantikan baharu Ahli Dewan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah manakala Tengku Zafrul merupakan lantikan semula setelah diperkenan Seri Paduka.

 

Sementara itu, Rais ketika berucap pada upacara berkenaan berkata mengikut syarat di bawah Perkara 43 (2)(b) Perlembagaan Persekutuan, untuk menjadi menteri, seseorang itu hendaklah menjadi Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara.


“Satu-satunya hal yang baik bagi kita peringati ialah bahawa para senator yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri adalah juga juara terbaik bagi membela dan menegapkan institusi senat sebagai badan legislatif tertinggi negara kita,” katanya sambil mengalu-alukan pelantikan mereka sebagai Ahli Dewan Negara.


Di samping itu, Rais juga menyeru semua senator agar meneliti kembali senarai tugas kolektif untuk Indeks Capaian Utama masing-masing mulai 2023. 


“Mari kita perkasakan kembali Reformasi Institusi Parlimen yang dicadangkan dan kita semarakkan agenda pembaharuan ini untuk melunaskan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita,” katanya.


Terdahulu, Rais merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov lepas.


“Semoga Malaysia akan terus dipacu kecemerlangannya di bawah pentadbiran Yang Berhormat Datuk Seri (Anwar),” katanya, lapor Bernama.


Rais juga menyampaikan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah menerajui negara sebagai Perdana Menteri Kesembilan.


Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 Jemaah Menteri yang akan menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.