Notification

×

Iklan

Iklan

Warga emas didakwa di mahkamah pukul anak guna paip PVC

| November 15, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-15T10:00:23Z

KUALA LUMPUR— Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas anak perempuannya berumur 16 tahun.


Bagaimanapun, Amin Husaini Tan Abdullah, 60, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di kediamannya di Ampang Jaya, pukul 6 petang pada 9 Sept lepas, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Bernama.


Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Difahamkan, tertuduh memukul anaknya itu dengan menggunakan paip Polyvinyl Chloride (PVC).


Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Zulhasnan mencadangkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin, manakala peguam Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah.


“Tertuduh mempunyai 10 orang anak dan tidak bekerja atas faktor usia serta kesihatannya. Jaminan RM8,000 yang ditawarkan pendakwaan adalah tinggi, oleh itu tertuduh memohon jaminan rendah,” kata peguam itu.


Majistret Normaizan Rahim membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Dis ini untuk sebutan kes.

×
Berita Terbaru Update