Perunding didakwa tipu syarikat pelaburan hartanah lebih RM1.2 juta

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR—Seorang perunding syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menipu sebuah syarikat pelaburan hartanah bagi menuntut bayaran lebih RM1.2 juta, dua tahun lepas.


Mengikut pertuduhan, Mohd Azhari Che Omar, 43, didakwa menipu Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dengan cara memperakukan bahawa Syarikat Gafis (M) Sdn Bhd layak untuk mendapat pembayaran bagi tiga tuntutan berkala berjumlah lebih RM1.2 juta, sehingga mendorong PHB membuat pembayaran yang dituntut itu kepada syarikat Gafis antara 9 Dis 2020 dan 15 Feb 2021, lapor Bernama.


Pembayaran tuntutan itu adalah untuk kerja-kerja Factory Acceptance Test bagi beberapa peralatan termasuk pemercik (sprinkler) dan penyejuk (chiller) iaitu tertuduh mengetahui bahawa ia tidak pernah dijalankan dalam projek cadangan membina dan menyiapkan pembangunan bercampur fasa satu di Kuala Terengganu. 


Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat YHS Associates Sdn Bhd di Jalan Pandan 2/2, Pandan Jaya di sini antara 6 Nov 2020 dan 8 Jan 2021, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.


Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta tertuduh disenarai hitam dari ke luar negara sehingga pelupusan kes. 


Di Mahkamah Sesyen berasingan, pengurus perolehan dan kontrak Syarikat Gafis, Rosliza Lah, 46, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Mohd Azhari, dengan menyediakan dokumen yang diperlukan untuk menipu PHB bagi mendapatkan pembayaran bagi tiga tuntutan serupa.


Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 420 yang membawa hukuman sama.


Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.


Rozina menetapkan 16 Dis ini untuk sebutan kes Mohd Azhari, manakala Azura menetapkan 5 Jan 2023 untuk sebutan kes Rosliza.

Next Post Previous Post