PRU15: Cuti umum di Sarawak 18 Nov, Abang Johari

18 Nov sebagai cuti umum bagi membolehkan pengundi di negeri itu membuat persiapan, Cuti umum di Sarawak 18 Nov

SIBU— Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan 18 Nov sebagai cuti umum bagi membolehkan pengundi di negeri itu membuat persiapan bagi melaksanakan proses demokrasi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 Nov ini.


Beliau berkata pemberian cuti itu adalah selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beliau juga sudah berbincang dengan Ismail Sabri mengenainya semasa perasmian pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau semalam, lapor Bernama.


"Saya beritahu (Ismail Sabri) kalau ini keputusannya maka Sarawak akan mengumumkan cuti pada 18 Nov seperti juga kerajaan pusat. Ini adalah untuk kita memberi ruang proses demokrasi berjalan dengan baik," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Daerah Tanjung Manis, kira-kira 105 kilometer dari sini, hari ini.


Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh serta calon Gabungan Parti Sarawak bagi Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abd Wahab.


Semalam, semasa merasmikan majlis pecah tanah Wisma CUEPACS di Putrajaya, Perdana Menteri mengumumkan 18 dan 19 Nov sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi menunaikan tanggungjawab pada PRU15, sejurus tiba dari Selangau, Sarawak.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.