Wan Azizah tercicir kad pengenalan semasa berarak

Wan Azizah bakal menentang Kamarudin dan Chew bagi merebut kerusi Bandar Tun Razak. 

KUALA LUMPUR—Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tercicir kad pengenalan ketika berarak ke pusat penamaan calon di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini.


“Saya dah selitkan IC (kad pengenalan) dalam pas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) ini tapi itulah tadi tercicir masa perarakan, mujurlah saya dapat balik. Penting ni!” kata calon Pakatan Harapan (PH) itu kepada pemberita selepas proses penamaan calon P124 Parlimen Bandar Tun Razak.


Kad pengenalan Wan Azizah yang berjaya ditemukan seorang penyokongnya ternyata memberi kelegaan kepada kira-kira 200 penyokong Pengerusi Penasihat PKR itu ketika beliau memasuki pekarangan pusat penamaan calon itu, lapor Bernama.


Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Wan Azizah, penyandang kerusi Datuk Kamarudin Jaffar (Perikatan Nasional) dan Ketua MCA Datuk Chew Yin Keen (Barisan Nasional).


Seramai 119,185 pemilih layak mengundi di Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU15.


SPR menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian dan 15 Nov bagi pengundian awal.

Next Post Previous Post