Ular tedung mati selepas digigit budak lelaki

Gigitan budak lelaki dipercayai telah menusuk organ penting menyebabkan haiwan itu mati.

NEW DELHI-- Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dipatuk seekor ular, menggigit semula ular berkenaan dalam satu kejadian di negeri Chhattisgarh di tengah India, menurut pihak berkuasa pada Sabtu.


Budak lelaki yang hanya dikenali sebagai Deepak itu dipatuk ketika cuba melindungi dirinya daripada reptilia itu di rumahnya di Pandarpadh di daerah Jashpur, lapor Bernama.


"Bila ular itu belit tangan saya, saya dipatuk. Saya rasa sakit. Saya gigit ular itu dua kali lalu baling ular itu,” kata Deepak kepada pemberita awal minggu ini.


Keluarganya kemudian membawa dia ke klinik kesihatan, lapor Agensi Anadolu memetik The New Indian Express.


"Dia segera diberikan racun antiular dan dietakkan dalam pengawasan sepanjang hari dan dibenarkan keluar," kata pegawai kanan kesihatan daerah Jashpur, Dr Jems Minj.


Pegawai berkata budak lelaki itu hanya menerima gigitan kering dan ular itu tidak mengeluarkan sebarang racun sekali gus menyelamatkan nyawanya.


Saintis kanan di Zoological Survey of India, Pratyush P. Mohapatra berkata kejadian seperti itu jarang berlaku.


"Tetapi dalam situasi begini, apa-apa boleh berlaku. Dalam mempertahankan diri, gigitan budak lelaki itu pasti telah menusuk organ penting menyebabkan haiwan itu mati," katanya.


Terdapat 45,000 kematian akibat patukan ular setiap tahun direkodkan di India, menurut kajian “Million Death Study” 2011.


Menurut kajian eLife, jurnal terbuka yang diterbitkan pada 2020 oleh pakar terkemuka India dan antarabangsa: "Korban akibat patukan ular mungkin menyebabkan 1.2 juta kematian di India sejak dua dekad lalu."


"Viper, krait dan ular tedung Russell adalah antara spesies ular yang dikesan paling banyak menyebabkan kematian di India," menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.


Agensi kesihatan PBB itu menetapkan sasaran untuk mengurangkan separuh daripada jumlah kematian akibat gigitan ular menjelang 2030.

Next Post Previous Post