Pengguna boleh ciap teks panjang di Twitter- Elon Musk

Musk berkata, Twitter akan menambah keupayaan untuk pengguna membuat catatan teks ciapan panjang, menamatkan tangkapan skrin notepad.

WASHINGTON-- Usahawan jutawan Amerika Syarikat (AS) Elon Musk yang baru-baru ini memperoleh Twitter berkata platform media sosial itu tidak lama lagi akan membolehkan pengguna untuk membuat catatan lebih panjang, lapor Sputnik.


"Tidak lama lagi Twitter akan menambah keupayaan untuk pengguna membuat catatan teks ciapan panjang, menamatkan tangkapan skrin notepad," kata Musk di laman Twitternya pada Sabtu, lapor Bernama.


Dalam satu lagi ciapan, Musk berjanji untuk turut menambah baik fungsi carian rangkaian sosial itu.


"Carian dalam Twitter mengingatkan saya tentang Infoseek pada '98! Itu juga akan menjadi lebih baik secara pronto," kata Musk.


Musk memuktamadkan perjanjian pemerolehan Twitter dengan belian US$44 bilion minggu lepas sebelum pengundi keluar mengundi pada pemilihan pertengahan penggal pada 8 Nov bagi menentukan siapa akan mengawal Kongres AS.


Menurut Musk Twitter mempunyai banyak potensi, namun syarikat itu pada masa ini tidak mempunyai pilihan selain memecat pekerja memandangkan syarikat itu mengalami kerugian.


Lima pekerja dan bekas pekerja memfailkan saman terhadap syarikat media sosial itu pada Khamis kerana didakwa gagal memberikan notis yang mencukupi mengenai pemberhentian besar-besaran berikutan pengambilalihan Musk itu.


Selepas melengkapkan pemerolehan rangkaian media sosial itu, Musk memecat Ketua Pegawai Eksekutif Parag Agrawal, Ketua Pegawai Kewangan Ned Segal dan Ketua Pegawai Undang-undang Vijaya Gadde.


Jutawan AS itu juga berkata majlis khas "dengan sudut pandangan yang pelbagai" akan ditubuhkan untuk menyederhanakan platform berkenaan.

Next Post Previous Post