Tolong jangan main politik kotor, kata Fadillah
Fadillah bersama yang lain dan ratusan penyokong GPS berarak semasa hari penamaan calon di PPC Dewan Al-Muneerah SMK Petra Jaya hari ini. |
KUCHING— Penyandang Parlimen Petra Jaya Datuk Sri Fadillah Yusof menegaskan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan medan untuk permainan kotor.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, sebaliknya pilihan raya umum ini adalah medan untuk berjuang atas dasar parti, bukan kepentingan atau dasar individu.
“Siapa nak main kotor, tolong jangan main politik kotor.
"Jika kita main kotor nanti kita sendiri terpaksa menjawab balik dan takut nanti akhirnya hilang keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman Penamaan Calon Parlimen Petra Jaya di Dewan Al-Muneerah SMK Petra Jaya di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, setiap calon perlu mengingatkan diri masing-masing bahawa mereka berjuang atas dasar parti, bukan atas dasar individu.
“Diharapkan agar sepanjang proses berkempen sehingga ke hari mengundi kelak akan berjalan lancar dan penuh etika,” katanya.
Beliau menambah, jentera parti telah diatur gerak menjalankan kempen pilihan raya sejak dulu bagi memastikan semua aktiviti parti berjalan dengan mematuhi etika.
Beliau telah memegang kerusi itu selama empat penggal berturut-turut sejak 2004 menjadikan Petra Jaya sebagai kubu kuat GPS.
Pada PRU14, Fadillah mempertahankan kerusinya dengan majoriti 15,017 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nor Irwan Ahmat Nor dan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Hamdan Sani.