Ismail Sabri hadapi dua pencabar di Bera

Ismail Sabri (tengah) bersama dua pencabarnya daripada PN dan PH pada majlis penamaan calon di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.


BERA—Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhadapan dua pencabar, masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam misinya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Mewakili Barisan Nasional (BN) dalam saingan tiga penjuru itu, Ismail Sabri yang merupakan penyandang kerusi sejak 2004 ditentang calon Abas Awang (PH-PKR) dan Datuk Asmawi Harun (PN-Bersatu), lapor Bernama.


Senarai rasmi calon bertanding bagi kerusi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera Datuk Zaman Azam Mohamet Sarif pada 11.23 pagi di Pusat Penamaan Calon, Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.


Ismail Sabri yang sedondon berpakaian biru bersama isterinya Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.55 pagi, ditemani tiga calon BN bagi DUN di bawah Parlimen Bera serta ratusan penyokong parti yang membawa bendera parti sebagai tanda sokongan. 


Asmawi dan Abas bersama calon-calon DUN parti masing-masing dan penyokong mereka tiba di pusat penamaan itu pada pukul 8.30 dan 8.50 pagi.


Pada pilihan raya umum 2018, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menang dalam saingan tiga penjuru dengan memperoleh majoriti 2,311 undi, menewaskan calon PKR Zakaria Abdul Hamid yang mendapat 18,499 undi manakala calon PAS Musaniff Ab Rahman memperoleh 8,096 undi. 


Berdasarkan daftar pemilih sehingga 9 Okt lepas, seramai 77,669 pemilih layak mengundi di Parlimen Bera pada PRU15, melibatkan 73,860 pengundi biasa, tentera dan pasangan (3,521 pengundi), polis dan pasangan (279 pengundi) manakala pengundi luar negara, sembilan.


Zaman Azam turut mengumumkan pertembungan empat penjuru bagi DUN Guai melibatkan tiga calon wanita iaitu Datuk Sabriah Saidin yang mewakili BN, Nor Hashimahi Mat Noh (PN) dan Noraini Abdul Ghani (PH) serta calon Bebas Jafari Mohd Yusof. 


DUN Triang pula menyaksikan penyandang Leong Yu Man daripada PH akan menentang Yee Cheng Hwa (BN) dan Muhammad Izzuddin Zulkifli (PN).


Sementara itu, DUN Kemayan menyaksikan persaingan satu lawan satu melibatkan calon BN Khaizulnizam Mohamad Zuldin dan calon PN Shapuan Hussain, selepas borang pencalonan wakil PH Manolan Mohamad yang juga Presiden Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA) ditolak.


Pecahan pengundi di DUN di bawah Parlimen Bera ialah 24,412 pengundi bagi DUN Guai, 25,891 pengundi di DUN Triang dan 27, 366 pengundi di DUN Kemayan.


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 15 Nov ini sebagai hari pengundian awal dan 19 Nov ini sebagai hari pengundian. 

Next Post Previous Post