Tiada laporan harga telur mahal diterima KDPNHEP, Anwar minta MAFI ambil langkah perlu

Penjualan telur ayam yang didakwa mencecah RM17 sepapan, peniaga menjual telur ayam gred kawalan melebihi harga yang ditetapkan

KUCHING-- Tiada sebarang laporan diterima berhubung penjualan telur ayam yang didakwa mencecah RM17 sepapan seperti dilaporkan media, kata Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam.


Jelas beliau, jika terdapat peniaga menjual telur ayam gred kawalan melebihi harga yang ditetapkan, aduan boleh dibuat kepada KPDNHEP bagi membolehkan siasatan dijalankan.


"Kita mengawal harga bagi telur ayam gred A, B dan C, masing-masing dijual dengan harga 45 sen sebiji, 43 sen dan 41 sen, manakala harga bagi telur ayam jenis istimewa atau Omega, ia bukan di bawah kawalan.


"Setakat ini, tiada laporan yang diterima berhubung isu penjualan telur ayam RM17 sepapan. Jika ada aduan, kita akan menyiasat seperti biasa," katanya dipetik menerusi laporan Berita Harian hari ini.


Terdahulu, media melaporkan bekalan telur ayam di beberapa negeri kembali stabil, namun harganya meningkat sehingga RM17 sepapan bagi telur ayam gred A.


Kenaikan harga telur ayam itu juga didakwa berpunca daripada pembekal yang mengenakan caj tambahan, iaitu dua sen untuk setiap biji telur sehingga memaksa harga jualannya dinaikkan untuk semua jenis gred.


Dalam pada itu, Azman menegaskan dari segi penguatkuasaan terhadap harga telur ayam sejak 5 Februari lalu sehingga semalam, sebanyak 153 kes peniaga menjual telur ayam melebihi harga maksimum sudah diambil tindakan.

 

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil langkah perlu untuk mengawal harga makanan, terutama telur ayam.


Tegas beliau, isu berkenaan adalah antara perkara penting ditekankannya pada mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022, di sini, hari ini.


"Apa yang ditekankan ialah masalah harga barang, kos sara hidup. Saya mengucapkan terima kasih kerana industri nampaknya menyediakan telur mencukupi dalam pasaran dan berdasarkan keterangan, hal ini (bekalan telur ayam) akan bertambah dalam masa singkat.


"Saya lebih ingin menekankan supaya kos itu dapat dikawal lagi. Ini termasuk MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), mengambil langkah supaya harga di pusat pengeluaran itu tidak terlalu (atau tinggi) dalam pasaran," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.


Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah, mengakui FOMCA juga tidak tahu punca harga telur ayam meningkat secara mendadak walaupun negara tidak mengalami kekurangan makanan berkenaan.


"Mengenai harga telur ayam mahal, buat masa ini kita belum terima sebarang aduan daripada pengguna, tetapi kita mahu lihat peranan KPDNHEP untuk ambil tindakan ke atas peniaga atau sesiapa sahaja yang mencatut.


"KPDNHEP ada kuasa buat siasatan dan penguatkuasaan untuk mengetahui apa punca sebenar harga telur ayam naik. Sehingga kini kita tidak mendengar sebarang kenyataan daripada pihak berkaitan mengenai isu ini," katanya semalam.


Saravanan berkata, isu kenaikan harga telur ayam bukan baharu dan di bawah KPDNHEP juga, ditubuhkan jawatankuasa khas seperti Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup untuk melihat pelbagai isu, termasuk bekalan makanan dalam negara.


"Menerusi jawatankuasa ini, kita letakkan data terkini bekalan makanan seperti ayam, telur, sayur-sayuran dan sebagainya. Pada masa itu memang berlaku kekurangan bekalan ayam kerana negara kita baru sahaja pulih daripada pandemik COVID-19.


"Namun, sejak dua bulan lalu, (data menunjukkan) memang tiada isu kekurangan bekalan makanan, sebaliknya tiba-tiba kekurangan bekalan telur ayam pula. Perkara inilah yang kita mahu KPDNHEP terangkan kepada rakyat.


"Terangkan adakah kekurangan bekalan telur ayam dan kenaikan harganya disebabkan permintaan yang berlebihan atau sebaliknya," katanya turut mengajak rakyat memainkan peranan menangani kenaikan harga atau kekurangan makanan dengan membuat aduan kepada pihak berkaitan.


Katanya, tindakan lain seperti boikot peniaga akan menyebabkan kerugian kepada sektor perniagaan dan juga ekonomi negara.


Sementara itu, Persatuan Penternak Unggas (Kecil dan Sederhana) Negeri Johor menafikan dakwaan kononnya kekurangan telur ayam di pasaran disebabkan tindakan sabotaj penternak yang mahukan harga bahan mentah itu dinaikkan.


Setiausahanya, Lau Ka Leng, berkata tuduhan itu amat tidak berasas apatah lagi tindakan sabotaj termasuk menyimpan telur di gudang, hanya merugikan penternak.


Katanya, tuduhan yang menyatakan pemborong mengutamakan pasaran Singapura juga tidak benar kerana isu kekurangan telur di pasaran kerana berlaku kekurangan ayam penelur di seluruh negara.


"Penternak ayam sebenarnya menghadapi isu kekurangan ayam penelur sejak beberapa bulan lalu berikutan gabungan faktor isu kekurangan ayam, harga dedak yang terlalu tinggi serta penyakit.


"Kekurangan ayam segar sebelum ini menyebabkan penternak terpaksa menjual ayam penelur sebagai ayam daging berikutan permintaan tinggi ayam segar di pasaran.


"Ia menyebabkan kita kekurangan ayam penelur dan pusingan telur untuk pasaran juga akhirnya terjejas," jelasnya.


Selain itu, katanya, harga dedak yang terlalu tinggi dan penyakit yang menyerang ayam juga antara faktor menyebabkan ayam penelur berkurangan sekali gus jadi punca bekalan telur terus terjejas dan tidak dapat dipenuhi sejak hampir lima bulan lalu.


Difahamkan secara purata negara memerlukan antara 30 hingga 31 juta biji telur sehari yang dikeluarkan oleh 1,500 penternak seluruh negara.

LihatTutupKomentar