Tambah wakil rakyat dari DAP dalam Parlimen bukan GPS demi kebaikan Sarawak-Chong

Menurut Chong, memberikan kuasa mutlak kepada GPS bukan jalan terbaik untuk mengukuhkan Sarawak di peringkat Persekutuan.

KUCHING—Sarawak perlu wakil rakyat daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk memastikan sistem 'semak dan imbang' di Parlimen lebih kukuh dan memberi manfaat kepada Sarawak. 


Calon Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen selaku Pengerusi DAP Sarawak berkata, contoh bagaimana keseimbangan antara PH dan GPS di peringkat nasional memberi manfaat apabila 17 daripada 21 perkara dalam Jawatankuasa Khas Perjanjian Malaysia (MA63) dibincang dan dipersetujui dalam masa yang singkat.



“Kami konsisten berpendapat, cara terbaik untuk mengukuhkan Sarawak bukanlah dengan memberikan kuasa mutlak kepada GPS, sebalinya kukuhkan sistem semak dan imbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini. 


“Dalam konteks ini, GPS tidak boleh mendakwa untuk memonopoli kepentingan semua rakyat Sarawak dan sebenarnya kali terakhir GPS atau BN Sarawak menguasai semua kerusi di Sarawak, apa yang kita lihat adalah kezaliman, dan kekurangan akauntabiliti yang mengakibatkan kehilangan hak kita pada mulanya.  


“Melalui sistem semak dan imbang yang kukuh, tekanan positif di kalangan parti utama yang mempunyai pengaruh di peringkat nasional, ia boleh memanfaatkan Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Tambah Pengerusi PH Sarawak itu, Ini antara banyak contoh bagaimana kehadiran kuat parti yang mempunyai pengaruh nasional seperti DAP di dalam Sarawak untuk bertindak sebagai pengimbang balas di peringkat nasional yang memberi manfaat kepada Sarawak.


Malah, katanya semasa PH menjadi pembangkang, melalui pengaruh DAP di platform nasional, DAP menandatangani MoU dengan Perdana Menteri ketika itu yang mana salah satu syaratnya adalah untuk mempercepatkan pemulihan status asal Sarawak di bawah Perkara 1(2).


"Apabila 'Sheraton Move' berlaku, Menteri Hal Ehwal Sarawak ketika itu berjanji bahawa ia akan dilakukan dalam tempoh 6 bulan tetapi ia tertangguh begitu lama.  


"Dalam tempoh dua bulan selepas menandatangani MoU, ia telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen dengan sokongan penuh daripada kedua-dua pihak politik," jelasnya. 


Disebabkan MoU itu kata Chong, PH mempunyai pendirian untuk berunding dengan Menteri Kewangan bagi menambah peruntukan kepada Sarawak sebanyak RM450 juta selain daripada apa yang diumumkan pertama kali dalam Bajet 2022.


"Hakikatnya GPS sudah mempunyai mandat yang kuat di Sarawak selepas menguasai 76 kerusi daripada 82 kerusi di peringkat Negeri malah pada pilihan raya kali ini, mereka diramalkan memenangi majoriti kerusi terutama di kawasan luar bandar.


"Itulah sebabnya apa yang menguntungkan rakyat Sarawak adalah untuk membolehkan PH memenangi sebanyak mungkin kerusi kerana kita memainkan peranan yang berbeza dan menjadi semak dan imbang untuk mencapai apa yang terbaik untuk Sarawak dan juga Malaysia," ujarnya. 

Next Post Previous Post