Suami isteri berdepan detik cemas harimau masuk rumah

Kelihatan harimau duduk berehat di bawah rumah mangsa. Gambar kredit Bomba Kuala Lipis

KUANTAN—Sepasang suami isteri berdepan detik cemas selepas seekor harimau akar memasuki rumah mereka di Kampung Sentang Pagar Sasak, Kuala Lipis, semalam.


Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.30 petang dan mendapati ketika insiden berkenaan, rumah itu dihuni seorang lelaki berusia 55 tahun dan isterinya 58 tahun yang menghidap angin ahmar.


Beliau berkata menerusi maklumat yang diterima, harimau berkenaan dikatakan masuk ke rumah itu melalui pintu hadapan ketika mengejar seekor kucing.


"Terkejut dengan kehadiran harimau itu, suami wanita itu telah menghalau haiwan berkenaan namun harimau itu telah melompat ke atas katil dan tercakar kening wanita berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.


Menurutnya, wanita yang mengalami luka kecil itu telah diberi rawatan oleh petugas kesihatan Klinik Padang Tengku, Kuala Lipis.


Beliau berkata harimau yang kemudian berada di bawah rumah mangsa telah dikepung oleh penduduk kampung sementara menunggu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.


Pada pukul 8 malam, Perhilitan Lipis tiba di lokasi kejadian dan haiwan berkenaan berjaya ditangkap beberapa jam kemudian setelah ditembak dengan ubat pelali, katanya.

Next Post Previous Post